Bungkusan putih mencurigakan di sekolah rupanya mengandungi tepung

20 Oct 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bungkusan putih mencurigakan di sekolah rupanya mengandungi tepung

ALOR GAJAH: Penemuan sebuah kotak polistirena yang dibiarkan di belakang pondok pengawal sebuah sekolah di daerah ini selama kira-kira dua bulan sehingga menimbulkan kebimbangan pihak sekolah, rupa-rupanya mengandungi tiga bungkusan tepung.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihak sekolah memaklumkan mengenai penemuan bungkusan itu selepas mendapati nama penerima yang tertera tidak merujuk kepada mana-mana kakitangan sekolah berkenaan.

Menurutnya, pihak sekolah bimbang dengan keadaan bungkusan yang sudah lama dibiarkan di lokasi berkenaan sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 8.20 pagi.

“Apabila menerima maklumat daripada pihak sekolah, saya meminta bantuan pihak keselamatan untuk mengesan dan mengenal pasti kandungan bungkusan itu kerana kita tidak tahu sama ada terdapat bahan yang boleh membahayakan.

“Pihak keselamatan kemudian datang dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum membuka bungkusan tersebut dan mendapati ia hanya mengandungi tiga bungkusan tepung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut turut dilakukan dengan bantuan pasukan forensik bagi mengesan cap jari pada bungkusan berkenaan.

Katanya, bungkusan itu turut mengandungi pinggan polistirena, manakala alamat yang tertera merujuk kepada sekolah berkenaan, namun nama penerima tidak dikenal pasti sebagai kakitangan sekolah.

Beliau berkata, maklumat awal yang diterima pihaknya menunjukkan bungkusan berkenaan sudah berada di lokasi itu selama kira-kira dua bulan sebelum perkara tersebut dibangkitkan.

“Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai identiti penghantar atau tujuan bungkusan itu ditinggalkan di sekolah berkenaan,” ujarnya.

Jumaat lalu laporan media melaporkan polis mengesahkan menerima sembilan laporan berkaitan penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, lima laporan diterima di Nilai manakala empat lagi di Tampin. Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya. – UTUSAN 

The post Bungkusan putih mencurigakan di sekolah rupanya mengandungi tepung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved