
KUALA LUMPUR - Walaupun disabitkan bersalah membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil, seorang pemuda terlepas dari tali gantung hari ini, selepas Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara 40 tahun serta 12 sebatan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Mohd Radzi Harun.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 23 Mei 2023.
Mahkamah dalam penghakimannya menyatakan, pertimbangan utama termasuk usia muda perayu ketika kejadian berlaku serta budi bicara hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Mahkamah ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara selama 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan serta 12 sebatan,” menurut keputusan mahkamah.
Peguam bela, Muhammad Nor Tamrin, dalam hujahan mitigasi menyatakan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Klang adalah terlalu berat memandangkan perayu ketika itu baru berusia 20 tahun empat bulan.
Beliau turut memaklumkan, perayu telah mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, berhujah, hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar dan setimpal dengan kekejaman serta sifat berat kesalahan tersebut.
Berdasarkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah kini mempunyai budi bicara sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kesalahan membunuh.
Bagi kesalahan yang tidak dikenakan hukuman mati, pesalah lelaki di bawah umur 50 tahun juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman mati ke atas Muhammad Fakrul, yang juga seorang mahasiswa selepas dia mengaku bersalah membunuh dan membakar teman wanitanya, Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Sabak Bernam pada 2023.
Hakim Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman, ketika menjatuhkan hukuman berkenaan mendapati, pengakuan bersalah tertuduh dibuat secara sukarela dan tanpa syarat, selain menerima fakta kes serta eksibit pihak pendakwaan sebagai benar dan tepat.
Mahkamah turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai amat kejam serta berunsur perancangan, sekali gus wajar dikenakan hukuman berat.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam pada 22 Mei hingga 8 pagi pada 23 Mei 2023.
Laporan sebelum ini menyebut, pertikaian berkaitan kehamilan luar nikah dipercayai menjadi motif kejadian, apabila mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran ditikam dan perutnya dibelah, sebelum mayatnya dibakar di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian. - Getaran, 14 Mei 2026





