Bunuh Isteri, Bayi 2 Bulan, Suspek 'Bogel' Ditahan

4 Jul 2022 • 7:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang wanita dan anaknya yang berusia 2 bulan maut, disyaki dibunuh suaminya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang wanita bersama bayi berusia dua bulan maut disyaki dibunuh suaminya dalam kejadian di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, susulan insiden itu, polis menahan suspek di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka.

image is not available
Suspek ditahan polis di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat 2 beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka. - Gambar dari media sosial

Katanya, suspek berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel pada jam 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan sekitar pukul 12.42 tengah hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan.

image is not available
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel pada jam 2.45 petang tadi. - Gambar dari media sosial

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Kathiresh dengan menelefon 013-4472909 bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di atas jalan raya.

Sementara itu, bapa mentua suspek yang berumur 58 tahun ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau hanya mengetahui mengenai kejadian terbabit pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi selepas dihubungi ahli keluarganya, sebelum terus bergegas ke rumah anak ketiganya itu.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat.

“Saya nampak ada kesan seperti kelaran di leher mereka, kemudian polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya.

image is not available
Bapa mangsa melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat. - Gambar Bernama

Beliau turut difahamkan jiran berdekatan bahawa sebelum kejadian, mereka mendengar anak dan menantunya bertengkar.

Jelasnya, anaknya sudah berkahwin tahun lepas dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

“Anak saya kerja separuh masa sebagai pembuat kuih-muih, boleh dikatakan setiap hari saya jumpa dan kali terakhir adalah semalam, gelagat dia juga seperti biasa ceria sahaja.

“Sepanjang dia berkahwin ini tidak ada pula dia kongsi ada masalah (rumah tangga) atau tidak,” katanya. - Getaran, 4 Julai 2022