Bunuh Pemandu Grab, 2 Warga Asing Dihukum Gantung

28 Jul 2023 • 4:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sua Lay,(kiri) dan warga India Gurpreet Singh (depan) didapati bersalah membunuh pemandu Grab lima tahun lalu - gambar BERNAMA

SHAH ALAM -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warga asing selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu Grab warga tempatan lima tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Myanmar Sua Lay, 38, dan warga India Gurpreet Singh, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 

Nurulhuda dalam penghakiman memaklumkan tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu perkhidmatan p-hailing itu. 

Katanya hujahan kedua-dua tertuduh yang dimaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana tertuduh mampu memberikan arahan kepada mangsa untuk berhenti awal dari tempat asal yang dituju oleh mereka.

Selain itu, Nurulhuda berkata kedua-dua tertuduh mampu untuk memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa (ketika proses siasatan polis). 

“Mangsa dijerut dan ada kecederaan pada leher. Selain itu ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu. 

"Walaupun ia tidak dikatakan (pembunuhan) zalim, tetapi fakta mayat (mangsa) ditinggal begitu sahaja dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada mempunyai perasaan belas kasihan terhadap si mati. Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan (menjatuhi) hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh," katanya. 

Sua Lay dan Gurpreet sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 16 Julai 2018 atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab, pada 21 Jun tahun yang sama.

Tertuduh, masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, di lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves, pada 10.08 malam, 21 Jun 2018.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA