Bursa Carbon Exchange, UEM Lestra jalin kerjasama laksana lelongan Kontrak Pembekalan Tenaga Dua Hala pertama

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2025 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Carbon Exchange, UEM Lestra jalin kerjasama laksana lelongan Kontrak Pembekalan Tenaga Dua Hala pertama

image is not available

22/07/2025 - 12:49

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed (duduk kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad (duduk kanan) memeterai kerjasama bagi melaksanakan projek perintis lelongan Kontrak Pembekalan Tenaga Dua Hala (BESC) pertama di Malaysia di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS). Gambar/The Edge

KUALA LUMPUR 22 Julai - Bursa Carbon Exchange (BCX), anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Bhd, telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan UEM Lestra Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd, bagi melaksanakan projek perintis lelongan Kontrak Pembekalan Tenaga Dua Hala (BESC) pertama di Malaysia di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).

MoC tersebut telah ditandatangani dalam satu majlis yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed, dan KEtua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad.

Fad’l berkata, bursa memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan korporat ke arah jejak karbon yang lebih hijau.

“Paling ketara, kami melakukannya dengan memperkukuh piawaian pendedahan, mempermudah pelaporan kemampanan, dan membangunkan ekosistem yang menyokong proses penyahkarbonan dan amalan lestari melalui pelbagai perkhidmatan.

“Ia termasuk pembangunan BCX, pasaran karbon sukarela patuh syariah pertama di dunia, yang kini beroperasi sebagai bursa pelbagai produk alam sekitar untuk dagangan kredit karbon dan sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) melalui kontrak standard,” katanya ketika berucap semasa majlis menandatangani MoC antara BCX dan UEM Lestra.

Lelongan BESC, yang bakal dilancarkan di BCX dan ia membolehkan syarikat korporat membida bekalan elektrik hijau daripada projek solar fotovoltaik (PV) hibrid berskala besar milik UEM Lestra, berdasarkan keperluan tenaga masing-masing.

Ia merupakan lelongan pertama yang dijalankan di bawah kerangka CRESS, iaitu satu inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan akses korporat kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui akses pihak ketiga kepada grid nasional di Semenanjung Malaysia.

Di bawah kerjasama itu, BCX akan menyediakan platform lelongan-sebagai-perkhidmatan (auction-as-a-service) bagi memudahkan proses bidaan yang terbuka dan kompetitif.

UEM Lestra kini sedang membangunkan beberapa projek solar PV hibrid berskala besar, termasuk projek utama berkapasiti satu gigawatt di Segamat, Johor.

Kemudahan tersebut dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2028 dan dijangka menjana lebih daripada 1 juta megawatt-jam tenaga bersih setahun, serta mengurangkan hampir 800,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.

Lelongan itu bertujuan untuk menggalakkan penemuan harga yang telus bagi tenaga solar serta membolehkan syarikat-syarikat korporat atau pembeli berpotensi untuk memeterai Kontrak Pembekalan Tenaga Dua Hala (BESC) dengan UEM Lestra.

Ia juga dijangka meningkatkan kecairan di BCX melalui proses rumusan dan penjelasan REC apabila projek solar tersebut mencapai tahap operasi komersial.

Harman berkata, kerjasama itu menawarkan laluan baharu kepada syarikat korporat untuk mendapatkan akses kepada tenaga bersih yang selari dengan matlamat kelestarian mereka.

Beliau berkata, sebagai permulaan kepada kerjasama ini, syarikat sedang menjemput pihak-pihak yang berminat untuk mengemukakan bidaan mereka melalui platform lelongan baharu ini bagi mendapatkan bekalan elektrik hijau mengikut keperluan masing-masing.

“Ini akan menyokong syarikat-syarikat dalam mencapai komitmen ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) mereka dengan cara yang lebih pantas, mudah dan berimpak tinggi—menghapuskan halangan serta membuka akses kepada tenaga bersih secara berskala dan didorong pasaran,” katanya.

Beliau berkata, platform itu berpotensi memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat iklim Malaysia, termasuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 dan meningkatkan peratusan RE dalam campuran tenaga negara kepada 40% menjelang 2035.

Lelongan perintis ini dijangka diadakan pada November 2025, manakala tarikh rasmi pelaksanaan akan diumumkan pada Forum Pasaran Karbon Malaysia ke-3 yang akan berlangsung pada 15 Oktober 2025. - BERNAMA

standard

View Original Article