Bursa Malaysia catat ADV lebih rendah daripada jangkaan pada suku keempat 2023, Kenanga Research turunkan saranan kepada ‘underperform’
diyana
08/01/2024 - 11:03
KUALA LUMPUR 8 Jan - Kenanga Research menurunkan taraf saranan Bursa Malaysia Bhd kepada ‘underperform’ daripada ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM6.25 sesaham selepas ia mencatat purata nilai harian (ADV) lebih rendah daripada jangkaan pada suku keempat 2023 (4Q23).
Firma penyelidikan itu berkata hal tersebut mungkin kerana selera pelabur yang lebih lemah ekoran perkembangan Bajet 2024, selepas mencatat ADV sebanyak RM2.06 bilion bagi 2023 berbanding RM2.07 bilion pada 2022.
“Walaupun dagangan bagi tempoh itu berkemungkinan disokong oleh keredaan ketidaktentuan politik di samping duti setem yang lebih rendah, pergerakan keseluruhan mungkin perlahan disebabkan reaksi bercampur-campur terhadap Bajet 2024, serta kelemahan berterusan dalam mata wang domestik,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, Kenanga Research berpendapat bahawa selera pelabur lebih besar pada 2024 dengan anggaran dalaman firma yang menunjukkan USD/MYR ditutup pada 4.254 (CY23: 4.594), disokong sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.9% (CY23: 3.8%).
Firma tersebut turut mendapati bahawa aliran masuk asing meningkat, mungkin didorong oleh jangkaan kadar dana persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) sepanjang 2024 yang boleh mengalihkan minat dalam produk pasaran wang kembali kepada ekuiti dan sekuriti derivatif.
“Walaupun kami menjangkakan persekitaran dagangan lebih rancak pada 2024 dengan sokongan pergerakan pelabur asing, Bursa Malaysia mungkin terlalu mahal pada paras semasa dengan hasil dividen lebih menarik di kaunter lain,” katanya.
Kenanga Research menurunkan unjuran pendapatan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/FY24) masing-masing sebanyak 2% dan 1%, selepas mengambil kira ADV yang lebih rendah pada 4Q23.
“Unjuran keuntungan sebelum cukai kami sebanyak RM326.5 juta adalah hampir dalam sasaran FY23 kumpulan sebanyak RM295 juta hingga RM326 juta tetapi dengan kemasukan pembalikan peruntukan sebanyak RM27.7 juta.
“Berbanding pendapatan teras 9MFY23 sebanyak RM165.2 juta, pendapatan 4QFY23 mungkin antara RM54 juta hingga RM59 juta,” tambahnya.
Setakat pukul 11:01 pagi ini, saham Bursa Malaysia menokok 2 sen atau 0.3% kepada RM7.30 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM5.9 bilion. - DagangNews.com

