Bursa Malaysia Derivatives Virtual Trading Challenge kembali buat kali ketiga, Ogos ini

Business & Finance
4 Jul 2023 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia Derivatives Virtual Trading Challenge kembali buat kali ketiga, Ogos ini

azan

04/07/2023 - 15:30

KUALA LUMPUR 4 Julai - Bursa Malaysia Derivatives Berhad akan menganjurkan Bursa Malaysia Derivatives Virtual Trading Challenge (DVTC) buat kali ketiga bermula 1 hingga 30 Ogos 2023.

Cabaran dagangan maya itu bertujuan memupuk minat golongan muda dan mahasiswa mengenai pasaran derivatif Malaysia dengan menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik dalam perdagangan derivatif.

Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, pihaknya komited untuk mendidik dan memperkasakan pelabur runcit bagi mengakses pelbagai peluang, melengkapkan perserta dengan pengetahuan penting untuk membuat keputusan apabila terbabit dalam dagangan derivatif.

"DVTC berfungsi sebagai alat pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan pelabur, terutamanya peserta baharu, meningkatkan kemahiran dagangan dalam persekitaran yang selamat dan mendalam.

"Pengalaman pembelajaran sedemikian akan terbukti tidak ternilai apabila mereka menceburi pasaran dagangan langsung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semasa cabaran, peserta akan bersaing dalam persekitaran simulasi yang mencerminkan pasaran niaga hadapan secara langsung melalui Simulator Dagangan Derivatif BursaMKTPLC.

Setiap peserta akan menerima akaun sebanyak RM100,000 dalam modal maya untuk berdagang dalam enam kontrak derivatif yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives.

Kontrak yang ada termasuk Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO), Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO), Niaga Hadapan Indeks FBM KLCI (FKLI), Niaga Hadapan Indeks FBM Mid 70 (FM70), Niaga Hadapan Emas (Kontrak FGLD), dan Niaga Hadapan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GM).

Pada akhir cabaran, 20 peserta terbaik dengan baki akaun tertinggi akan menerima hadiah bernilai RM40,000.

Juara keseluruhan akan menerima hadiah sebanyak RM10,000, perningkatan daripada RM7,000 pada tahun sebelumnya.

DVTC terbuka kepada warganegara Malaysia yang layak berumur 18 tahun dan ke atas. Pendaftaran dibuka sehingga 21 Julai 2023. Sehingga 30 Jun 2023, Bursa telah mendaftarkan 2,794 peserta.- DagangNews.com