Bursa Malaysia, IDX, SET dan SGX bekerjasama pacu pembangunan mampan ASEAN
diyana
15/02/2024 - 15:44
KUALA LUMPUR 15 Feb - Bursa saham Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura menjalin kerjasama dalam Ekosistem Kelestarian Saling Terhubung ASEAN (ASEAN-ISE) untuk memacu pembangunan mampan ASEAN melalui pelaksanaan metrik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) biasa dalam infrastruktur data masing-masing.
Bursa Malaysia Bhd, Bursa Saham Indonesia (IDX), Bursa Saham Thailand (SET), dan Bursa Singapura (Kumpulan SGX) mengumumkan kerjasama tersebut dalam satu kenyataan media bersama hari ini.
Bursa Malaysia akan bertindak sebagai Sekretariat ASEAN-ISE untuk memudahkan kejayaan pelaksanaan objektifnya.
Menurut kenyataan tersebut, bursa saham yang terlibat ini berharap insiatif berkenaan mewujudkan ekosistem ESG bersepadu untuk menggalakkan kemajuan pembangunan mampan di ASEAN dan membolehkan mereka mencapai skala ekonomi menerusi ecekapan kos dan masa-ke-pasaran yang lebih pantas dengan penyelesaian yang sesuai untuk tujuan.
Keempat-empat bursa saham terbabit juga berharap inisiatif itu dapat memperkasakan mereka untuk membantu korporat mematuhi ESG secara proaktif dalam memaksimumkan nilai perniagaan melalui pendedahan yang berkualiti.
“Bursa saham yang terlibat telah bersetuju dengan kerjasama dipacu hasil yang mengambil kira pertimbangan tempatan dan tahap kematangan pasaran masing-masing.
“Secara signifikan, bursa saham terlibat akan komited untuk mengguna pakai dan melaksanakan ‘Metrik ESG Biasa Bursa Saham ASEAN’ dalam platform pelaporan ESG mereka,” kata mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata perkembangan terbaharu ini sejajar dengan hasrat pihaknya untuk meluaskan penyertaan daripada bursa saham di ASEAN dan melangkaui rantau ini.
“Bersama-sama, kami membayangkan ekosistem yang terbuka dan inklusif, di mana bursa saham di ASEAN yang terlibat mengendali infrastruktur data yang dipercayai dan sejajar secara asasnya.
“Ini akan disokong oleh set rumusan yang menyeluruh berasaskan modular, sesuai untuk tujuan dan cekap kos yang boleh digunakan sebagai tindak balas kepada keperluan dan syarat khusus pasaran bursa-bursa saham ini,” ujar beliau.
Menurut kenyataan tersebut, keempat-empat bursa saham ini akan bersidang semula untuk memuktamadkan butiran pelaksanaan sebelum merasmikan Rangka Kerja Tadbir Urus dan Struktur Operasi ISE pada Mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Saham ASEAN ke-37, yang dijadualkan diadakan pada Julai 2024 di Malaysia. - DagangNews.com


