Bursa Malaysia minta penjelasan Tanco susulan kenaikan harga saham luar biasa

LocalBusiness & Finance
20 Apr 2026 • 3:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia minta penjelasan Tanco susulan kenaikan harga saham luar biasa image is not available hamden20/04/2026 - 15:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 April - Tanco Holdings Bhd telah menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities selepas sahamnya menunjukkan pergerakan harga yang luar biasa sejak kebelakangan ini.

 

Badan pengawal selia tersebut meminta syarikat itu menjelaskan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan kepada umum, termasuk yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menjelaskan pergerakan harga saham itu.

 

Dalam makluman kepada syarikat berkenaan, pengawal selia pasaran itu menarik perhatian terhadap aktiviti dagangan tidak normal yang boleh menimbulkan spekulasi dalam kalangan pelabur.

 

Sehubungan itu, syarikat terbabit diarahkan membuat semakan dalaman termasuk mendapatkan pengesahan daripada lembaga pengarah, pemegang saham utama serta pihak berkaitan lain bagi mengenal pasti punca kenaikan tersebut.

 

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta mengesahkan sama ada terdapat sebarang khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin mempengaruhi aktiviti dagangan.

 

Dalam masa sama, Bursa Malaysia turut meminta penjelasan sama ada terdapat faktor lain yang boleh menerangkan kenaikan harga saham tersebut.

 

Syarikat itu juga dikehendaki mengesahkan pematuhan terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, khususnya berkaitan kewajipan pendedahan segera bagi memastikan ketelusan maklumat kepada pelabur.

 

Saham Tanco dibuka pada paras RM1.69 pada pagi Isnin sebelum meningkat ke paras tertinggi RM1.72. Saham Tanco berhenti rehat tengah hari pada RM1.71 selepas hampir 20 juta saham didagangkan. Saham Tanco telah meningkat 47% sejak awal tahun ini, dan hampir dua kali ganda berbanding awal 2025.

 

Keuntungan melonjak kepada RM4.19 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Disember 2025, berbanding RM1.92 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved