Bursa Malaysia sahkan isu dagangan tanpa kebenaran selesai, tiada pelabur kerugian

LocalBusiness & Finance
20 May 2025 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia sahkan isu dagangan tanpa kebenaran selesai, tiada pelabur kerugian

image is not available

20/05/2025 - 09:15

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mei — Bursa Malaysia Berhad mengesahkan isu membabitkan beberapa dagangan tidak dibenarkan yang dikesan pada 24 April 2025, telah pun diselesaikan.


Katanya, pelabur yang terjejas juga telah diberi jaminan, tidak akan mengalami sebarang kerugian berikutan kejadian tidak dijangka tersebut.


Tambahnya, ia telah mencapai kata sepakat dengan broker yang terjejas untuk menguruskan dagangan tidak dibenarkan itu.


"Seperti dinyatakan sebelum ini, dagangan tanpa kebenaran itu hanya terhad kepada sebilangan kecil akaun dagangan dalam talian pelanggan broker tertentu," katanya dalam satu kenyataan.


Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 25 April 2025 mengesahkan ada aktiviti tidak dibenarkan dilaporkan sebilangan kecil broker dan akaun pelanggan tertentu.


Bagaimanapun kedua-dua pihak menekankan bahawa sistem dagangan dan penjelasan teras adalah kekal selamat dengan siasatan terperinci sedang dijalankan pada ketika itu.


Firma pembrokeran turut telah diarahkan untuk melaksanakan segera pengesahan pelbagai faktor dan langkah keselamatan siber yang lebih ketat.


Ia susulan beberapa broker pada 24 April 2025 melaporkan mengesan akses tidak dibenarkan dan aktiviti perdagangan yang melibatkan beberapa akaun dagangan secara dalam talian.


Mengulas lanjut, Bursa Malaysia menambah, sekuriti dan hasil terjejas, yang telah ditahan sejak 27 April 2025 untuk memudahkan siasatan, akan dikeluarkan berikutan tindakan sesudah dagangan pada 20 Mei 2025.


Dalam kebanyakan kes katanya, proses itu akan menghasilkan pulangan sekuriti dan hasil kepada pelabur, selain memulihkan kedudukan mereka secara berkesan kepada tahap sebelum kejadian.


Bagaimanapun siasatan penuh masih dijalankan bagi menentukan punca utama dan bursa itu mengulangi komitmen bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan perlindungan pelabur serta mengekalkan keyakinan pasaran. - DagangNews.com

featured standard