Bursa Malaysia tambah 11 konstituen baharu kepada indeks F4GBM dan F4GBMS
diyana
14/12/2023 - 18:15
KUALA LUMPUR 14 Dis - Bursa Malaysia Berhad mengumumkan 11 penambahan baharu masing-masing kepada konstituen indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Syariah (F4GBMS).
Dalam satu kenyataan media hari ini, pengendali bursa itu berkata bagi tempoh semakan terkini Disember 2023, terdapat 11 penambahan pada konstituen indeks F4GBM, menjadikan jumlahnya kepada 109.
“Secara berasingan, 11 tambahan yang sama pada indeks F4GBMS akan meningkatkan bilangan konstituen indeks kepada 88.
“Tiada PLC akan tercicir daripada dua indeks terbabit dalam pusingan semakan ini. Semua perubahan konstituen akan berkuat kuasa pada permulaan perniagaan pada 18 Disember 2023 (Isnin),” katanya.
Menurut Bursa Malaysia, indeks F4GBM tersebut termasuk syarikat tersenarai awam (PLC) dengan kecairan yang baik dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kukuh dan konstituen indeks F4GBM diambil daripada PLC pada indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia, yang terdiri daripada PLC dari seluruh segmen permodalan pasaran kecil, sederhana dan besar.
Sebaliknya, indeks F4GBMS yang dilancarkan pada Julai 2021 dengan 54 konstituen, direka bentuk untuk mengesan konstituen dalam F4GBM patuh Syariah mengikut metodologi penyaringan Majlis Penasihat Syariah (SAC).
Kedua-dua indeks ini disemak semula setiap setengah tahun pada Jun dan Disember berbanding penanda aras antarabangsa.
Penyenaraian indeks F4GBM dan indeks F4GBMS terkini akan tersedia di laman web Bursa Malaysia selepas 22 Disember 2023 melalui laman web bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/ftse4good-bursamalaysia-f4gbm-index - DagangNews.com



