Bursa Malaysia tegur, denda RM309,000 dan pecat Lim Kow Kia @ Lim Thian Siang akibat pelbagai salah laku

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2025 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia tegur, denda RM309,000 dan pecat Lim Kow Kia @ Lim Thian Siang akibat pelbagai salah laku

image is not available

26/08/2025 - 17:45

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 OgosBursa Malaysia Securities Berhad telah menegur secara terbuka, mengenakan denda RM309,000 dan memerintahkan pemecatan Lim Kow Kia @ Lim Thian Siang (LKK) daripada senarai Orang Berdaftar kerana pelbagai salah laku yang menjejaskan integriti pasaran.

LKK didapati membuka dan mengendalikan akaun palsu serta menggunakan akaun ahli keluarganya, termasuk isteri dan ibu, sebagai akaun rahsia untuk urus niaga peribadi.

Salah laku itu berlaku semasa beliau bertugas sebagai Wakil Pedagang Berkomisen di Innosabah Securities Bhd, kemudian di CIMB Investment Bank Berhad dan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd di Kota Kinabalu.

Kesalahan tersebut melanggar peruntukan di bawah Peraturan Pra-Pembaruan 404.3(1)(a) & (b) dan 1302.1(1)(g) bagi pelanggaran sebelum 2 Mei 2013, serta Peraturan yang Diperbaharui 3.14(d) & (f), 5.01(a) dan 15.09(g) dan Perenggan 1.1(1)(e) Arahan No. 5-001 bagi pelanggaran selepas 2 Mei 2013.

Menurut Bursa Malaysia Securities, LKK juga mengemukakan dokumen palsu bagi membuka akaun perdagangan atas nama bapanya yang telah meninggal dunia, serta menyembunyikan kematian bapanya daripada pihak berkuasa.

“Aktiviti itu berterusan selama lebih 10 tahun sebelum dikesan.

“Selain itu, LKK mengawal dan mengendalikan akaun isterinya dan ibunya untuk tujuan perdagangan peribadi, melakukan perdagangan budi bicara tanpa kebenaran dan memberi pengisytiharan palsu kepada pihak Bursa.

“Beliau turut membenarkan pelanggan menggunakan alamat e-mel dan akaunnya, menyalahi peraturan professional,” kata Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan hari ini.

Bursa Malaysia Securities menegaskan, salah laku tersebut menjejaskan kepercayaan pelabur dan integriti pasaran.

“Tindakan disiplin yang dikenakan bertujuan memberi pengajaran kepada semua Orang Berdaftar agar mematuhi standard profesional, integriti dan kejujuran dalam industri.

“Pemecatan LKK diambil kira berdasarkan keseriusan pelanggaran, keuntungan diperoleh, serta tempoh pelanggaran yang berlanjutan selama kira-kira 15 tahun.

“Teguran awam ini juga menekankan pentingnya pematuhan terhadap peraturan dan etika profesional oleh semua wakil pedagang,” katanya. - DagangNews.com

standard