Bursa Malaysia tegur Ecobuilt, denda 2 pengarah RM400,000 kerana langgar peraturan penyenaraian

12/09/2025 - 18:05
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan teguran awam dan mengenakan denda RM400,000 kepada dua pengarah Ecobuilt Holdings Berhad selepas melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama) berkaitan kegagalan membuat pengumuman segera mengenai perintah pembubaran (Winding-Up Order).
Katanya, perintah pembubaran yang bertarikh 24 Julai 2024 itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Ecobuilt juga gagal mengumumkan rayuan ke Mahkamah Rayuan difailkan pada 25 Julai 2024 dan permohonan penangguhan pelaksanaan Winding-Up Order (WO Stay Application) difailkan pada 26 Julai 2024 secara tepat dan segera.
“Selain itu, pengumuman Ecobuilt pada 24 Julai 2024 disifatkan salah dan mengelirukan, dengan menyatakan Mahkamah Tinggi telah menangguhkan petisyen pembubaran, sedangkan kenyataan itu tidak benar.
“Ecobuilt hanya mengumumkan pembubaran pada 29 Julai 2024, selepas kelewatan tiga hari pasaran, diikuti pengumuman maklumat lanjut pada 30 Julai dan 1 Ogos 2024,” kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.
Dua bekas pengarah yang terlibat, iaitu Ng Choon Keith (Pengarah Eksekutif/CEO telah meletak jawatan pada 6 Februari 2025) dan Datuk Ong Chee Koen (Pengarah Bukan Bebas, meletak jawatan 9 Disember 2024) turut dikenakan denda RM200,000 setiap seorang.
Kedua-dua mereka dikenakan denda RM150,000 bagi kelewatan pengumuman dan RM50,000 bagi kesalahan dalam penyampaian maklumat.
Bursa Malaysia Securities menegaskan pelanggaran itu adalah serius kerana pengumuman segera tentang perkara material adalah penting untuk melindungi kepentingan pelabur dan mengekalkan integriti pasaran.
Bursa berkata, sebagai pengarah, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada nasihat peguam atau setiausaha syarikat tanpa membuat penilaian wajar bagi memastikan pematuhan kepada LR Utama.
Latar belakang kes menunjukkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai 2024 menolak permohonan Ecobuilt untuk menangguhkan petisyen pembubaran syarikat dan mengeluarkan perintah pembubaran terhadap syarikat.
Seterusnya, perdagangan sekuriti Ecobuilt digantung pada 9 Ogos 2024, tetapi syarikat tidak dikeluarkan dari senarai kerana adanya WO Appeal dan WO Stay Application.
Perintah pembubaran itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 11 September 2024.
Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Ecobuilt dan Lembaga Pengarahnya tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga standard akauntabiliti korporat, mematuhi peraturan penyenaraian dan memastikan maklumat material didedahkan secara tepat, lengkap dan segera kepada pelabur.- DagangNews.com
standard


