Bursa Malaysia uji paras 1,780 mata jika sentimen pelabur positif

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bursa Malaysia uji paras 1,780 mata jika sentimen pelabur positif

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka kekal berdepan persekitaran dagangan yang mencabar dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, namun masih berpotensi menguji paras 1,780 mata sekiranya sentimen pelabur bertambah baik dan aliran dana asing kembali ke pasaran. 

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kekurangan sokongan belian yang berterusan daripada pelabur institusi asing masih menjadi faktor utama yang mengehadkan kenaikan Bursa Malaysia.

“Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah sepatutnya memberi kesan positif kepada pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia. 

“Namun, manfaat itu belum dapat diterjemahkan sepenuhnya kerana penyertaan pelabur asing di Bursa Malaysia masih belum kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, ketidaktentuan geopolitik serta perkembangan ekonomi global terus menjadi risiko luar yang sukar dikawal dan dijangka mempengaruhi sentimen pelabur dalam tempoh terdekat.

“Sektor perbankan dan perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pasaran kerana mempunyai asas yang kukuh serta lebih berdaya tahan ketika ekonomi tidak menentu,” katanya.

Mengulas mengenai aliran masuk dana asing, beliau berkata, pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati berikutan beberapa isu tadbir urus yang mendapat perhatian pasaran.

“Dalam jangka pendek, Bursa Malaysia dijangka mendapat sokongan pada paras 1,700 mata, manakala, paras rintangan utama adalah sekitar 1,740 mata,” katanya.

Beliau berkata, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah kestabilan politik, isu tadbir urus serta keperluan memperkenalkan lebih banyak insentif pelaburan bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus meningkatkan daya tarikan pasaran modal negara.

Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata, asas ekonomi domestik yang stabil terus menyokong mata wang tempatan, namun momentum pengukuhan dijangka bergantung kepada prestasi eksport, hala tuju dolar Amerika Syarikat serta perkembangan ekonomi global.

“Ringgit mempunyai potensi untuk mengukuh sehingga sekitar RM4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun sekiranya pertumbuhan ekonomi kekal kukuh, keadaan politik domestik stabil dan keyakinan pelabur terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan pasaran pertukaran asing, terutama ketika berlaku tekanan jualan yang tinggi.

Katanya, pengukuhan ringgit akan membantu mengurangkan kos import serta meringankan tekanan kos sara hidup, manakala penyusutan nilai mata wang tempatan pula akan meningkatkan kos import dan tekanan inflasi.

Mengulas prospek pasaran, beliau berkata, pelabur supaya kekal selektif dengan mengambil keuntungan secara berperingkat bagi saham yang telah meningkat ketara, di samping memberi tumpuan kepada syarikat berasaskan fundamental kukuh dan pembayaran dividen yang konsisten, khususnya dalam sektor perbankan, perkhidmatan dan teknologi.

“Pelabur juga perlu memantau perkembangan dasar tarif Amerika Syarikat serta keputusan dasar monetari Fed kerana kedua-dua faktor ini berpotensi mempengaruhi hala tuju Bursa Malaysia dan ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya.

Minggu ini, sentimen pelabur global terjejas selepas Pengerusi Fed, Kevin Warsh, memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah penanda aras. Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) turut menyaksikan keputusan undian 9-3, satu perkembangan yang luar biasa apabila tiga ahli menyuarakan bantahan dan menyokong kenaikan kadar faedah.

Apex Securities berkata, pelabur turut menilai isyarat bercampur-campur daripada keputusan kewangan syarikat teknologi utama (Big Tech), dengan pasaran masih berbelah bahagi mengenai kemampanan perbelanjaan infrastruktur kecerdasan buatan (AI). –UTUSAN

The post Bursa Malaysia uji paras 1,780 mata jika sentimen pelabur positif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved