TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dan menyiasat badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun pempengaruh seleweng dana awam serta infak wajar diberi perhatian serius.
Amat membimbangkan apabila wang hasil sumbangan mencecah jutaan ringgit itu disyaki digunakan bagi tujuan peribadi, walhal sepatutnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Ini amat jelas bahawa perlu ada satu undang-undang khas dengan syarat ketat bagi mana-mana pihak untuk mengutip sumbangan.
Mungkin dengan kelompangan undang-undang bagi mengawal kutipan dana awam secara dalam talian dikenal pasti sebagai perkara serius yang membuka ruang kepada penyalahgunaan wang masyarakat melalui media sosial.
Apatah lagi hari ini sumbangan hanya dengan menekan butang transaksi secara dalam talian sahaja. Dibimbangi apabila tidak dikawal, muncul pula pihak lain yang mengambil kesempatan di atas kesulitan dengan menunggang agama. Ini yang harus diperbetulkan dan ditangani segera.
Kes sebegini sudah pasti mencemarkan institusi agama apatah lagi menggunakan nama Palestin atau Islam itu sendiri. Malah, individu terlibat juga lebih berani tampil di media sosial bagi mendapatkan sumbangan.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, lebih lima NGO yang berasaskan kutipan bantuan kini disiasat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pelbagai modus operandi dikesan selepas kertas siasatan dibuka terhadap pihak yang disyaki terbabit apabila aktiviti kutipan dana awam atau crowdfunding kini semakin berleluasa.
Kata Azam, ini sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan berikutan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang telus.
SPRM juga mendedahkan pihak terbabit biasanya memperoleh keuntungan segera dengan dana sehingga mencecah jutaan ringgit yang disumbangkan kepada NGO berkenaan.
Wang itu juga dikesan dipindahkan ke akaun peribadi dipercayai milik pengurusan tertinggi badan terbabit.
Justeru, dengan nada tegas tanpa kompromi, pihak atau individu terlibat dalam menyeleweng dana sumbangan ini wajar dikenakan tindakan tegas.
