‘Buru pendatang tanpa izin tiada kaitan Pilihan Raya Negeri’

LocalPolitics
10 Apr 2025 • 11:39 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Langkah agresif Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menjalankan siri operasi memburu pendatang tanpa izin (PTI) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi yang dijalankan pihaknya adalah tugas rutin dan komitmen berterusan JIM Sabah sebagai penguatkuasa.

“Saya nafikan dakwaan segelintir pihak yang mempersoalkan siri operasi JIM Sabah yang giat dilaksanakan, kononnya mempunyai kaitan dengan pilihan raya yang bakal berlangsung.

“Kita harap mereka hentikanlah tuduhan atau tohmahan terhadap JIM Sabah yang mengatakan kita mempunyai kepentingan terhadap urusan-urusan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Sitti Saleha berkata demikian pada sidang media di Pejabat Imigresen Tawau, di sini pada Rabu, berkaitan kejayaan Operasi Mahir dan Operasi Sapu yang diadakan dua hari di Semporna.

Mengulas lanjut, beliau berkata siri operasi yang dilaksanakan sudah menjadi tanggungjawab pasukannya melaksanakan amanah demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk dicapai selain memastikan aduan awam yang diterima diberi perhatian dan pemeriksaan sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.

Menurutnya, operasi-operasi terbabit juga adalah komitmen berterusan mengesan PTI yang tidak mempunyai dokumen sah, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negeri ini.

Dari Januari sehingga 4 April tahun ini, 465 siri operasi telah pun dilaksanakan melibatkan 8,980 orang diperiksa dan 1,440 tangkapan selain 37 majikan didakwa atas pelbagai kesalahan.

Pada masa sama, 53 siri pengusiran ke negara asal sudah dilaksanakan melibatkan seramai 3,528 warga asing iaitu 3,416 orang mengikut pengangkutan laut dan 112 orang menerusi udara.