Buruh Binaan Ditahan, Kantoi Menyamar Sebagai Polis

3 Jan 2024 • 6:00 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Buruh Binaan Ditahan, Kantoi Menyamar Sebagai Polis

AMPANG — Tindakan seorang pekerja buruh binaan yang menyamar sebagai anggota polis memakan diri apabila ditahan oleh pihak berkuasa di Pandan Cahaya semalam, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal serta memakai vest tertera tulisan polis telah ditahan oleh pihaknya dalam satu kejadian pukul 1.45 pagi.

“Semasa ditahan suspek berusia 27 tahun itu gagal menunjukkan kad kuasa polis dan gagal memberikan alasan yang munasabah dia memakai vest polis.

“Suspek telah ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azam, sebuah motosikal, anak kunci, satu vest dan sekeping kad pengenalan juga dirampas dalam tangkapan itu.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan semakan lanjut tiada rekod lampau.

“Suspek telah direman empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 merujuk kepada memiliki secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis,” maklumnya.

Tiga Lelaki Dikesan Menyamar Sebagai Polis

Imbas kembali, polis mengesan tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan yang mengejar sebuah kenderaan di Kilometer 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai, lapor Bernama.

Ia selepas video kelibat mereka tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 27 saat itu daripada seorang anggota polis pada 1.52 tengah hari.

“Satu video dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di laman Facebook memaparkan dirinya dikejar sebuah kereta yang menyamar sebagai pasukan polis semasa mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya.

“Suspek dipercayai tiga lelaki bangsa tidak pasti memakai pelitup muka dan menggunakan lampu beacon biru seakan pasukan polis telah cuba menahan mangsa dengan membuat isyarat tangan agar mangsa memberhentikan kenderaan yang dipandu,” menurutnya dalam kenyataan.

Sumber: Sinar Harian