Buruh didenda RM5,000 cabul anak saudara perempuan

31 Jul 2023 • 4:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Gara-gara mencabul kehormatan anak saudara perempuannya dengan mencium pipi dan menunjukkan kemaluannya semasa wanita itu berada di dapur untuk memotong bawang, seorang buruh menerima padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 49 tahun itu, yang mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa berusia 24 tahun di sebuah rumah di Taman Medan di sini pada 8.30 malam, 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan sewajarnya terhadap tertuduh, mengambil kira kekerapan kes yang berlaku, namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. -Bernama