Buruh Indonesia protes, lempar telur di Kedutaan Malaysia

31 Jan 2025 • 2:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Sekumpulan buruh dari Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Khamis, 30 Januari 2025, bagi membantah insiden penembakan lima pekerja warga Indonesia di Malaysia. Dalam protes itu, mereka melempar telur ke arah bangunan kedutaan sebagai tanda kemarahan.

Demonstrasi ini dianjurkan oleh Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) dan Partai Buruh. Mereka menuntut keadilan bagi pekerja migran yang ditembak dan menggesa pihak berkuasa Malaysia bertanggungjawab atas kejadian itu.

Insiden yang berlaku pada 24 Januari di perairan Tanjung Rhu, Selangor itu menyebabkan seorang warga Indonesia maut, manakala yang lain cedera.

Berdasarkan laporan media tempatan, pihak berkuasa Malaysia mendakwa tindakan itu diambil selepas kapal pekerja warga asing itu cuba keluar dari negara secara haram dan melanggar kapal penguat kuasa. Namun, dua mangsa yang terselamat menafikan dakwaan tersebut.

Cuba keluar dari Malaysia secara tidak sah

Pada 25 Januari lalu, Kementerian Luar Negeri Indonesia mengeluarkan kenyataan bahawa insiden tembakan tersebut berlaku ketika lima warga Indonesia cuba keluar dari Malaysia secara tidak sah.

Susulan itu, kementerian berkenaan mendesak agar siasatan terperinci dijalankan, khususnya bagi meneliti sama ada Maritim Malaysia bertindak dengan kekerasan yang berlebihan dalam kejadian tersebut.

Tuntut polis Malaysia dihukum?

Dalam protes itu, beberapa peserta melempar telur ke arah lambang rasmi kedutaan di Jalan Rasuna Said, dan menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap kejadian ini.

“Kami menuntut agar polis Malaysia yang terlibat dihukum!” kata salah seorang peserta demonstrasi.

Kumpulan yang sama turut mendesak Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia dan timbalannya meletakkan jawatan kerana dianggap gagal melindungi pekerja Indonesia di luar negara.

Desakan terhadap kerajaan Malaysia untuk memberikan penjelasan telus semakin kuat, dengan pelbagai pihak termasuk ahli politik di Indonesia menggesa agar kejadian serupa tidak berulang. – Agensi