Buruh kejar kanak-kanak dengan parang ditangkap polis

17 Oct 2025 • 1:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang buruh berumur 48 tahun ditangkap kerana disyaki mengejar seorang kanak-kanak lelaki, 11, dengan parang di Felda Umas, Kalabakan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah ACP Jasmin Hussin (gambar) berkata lelaki tempatan itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 5.30 petang selepas laporan yang dibuat oleh ibu mangsa.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila kanak-kanak itu melarikan diri sebaik melihat suspek menghampirinya sambil memegang sebilah parang,” katanya di sini, Khamis.

“Mangsa yang ketakutan terus berlari pulang ke rumahnya sehingga membuatkan ibunya panik.”Bimbang keselamatan keluarganya, ibu mangsa segera membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah menahan suspek manakala parang yang disyaki digunakan turut dirampas.

Jasmin berkata keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine sementara semakan latar belakang mendapati dia mempunyai tiga kesalahan jenayah lampau yang direkodkan di Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi dan Tawau.

Menurutnya suspek kini direman di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau mengingatkan orang ramai turut supaya tidak bertindak sendiri atau agresif, dan menambah, polis tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan awam.