
TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan disebat 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas mengaku salah merogol anak tirinya, 12, hingga hamil tujuh bulan, tahun lepas.
Lelaki berumur 41 tahun itu mengaku salah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud terhadap pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah kongsi di Batu 17, Jalan Bukit Quoin dekat sini, kira-kira jam 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos, 2021.
Mahkamah memerintahkan buruh ladang itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 September 2022 dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolahnya pada 21 September 2022, kira-kira jam 11.30 pagi selepas menyedari mangsa menunjukkan tanda-tanda kehamilan.
Hasil pemeriksaan mengesahkan remaja itu hamil tujuh bulan, lalu membuat laporan polis dan membawa kepada penangkapan tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambilkira faktor kepentingan awam, selain kesan trauma dialami mangsa.
Katanya, sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira status sama ada anak kandung atau anak tiri tetapi tertuduh bertindak merogol mangsa sehingga hamil.
Menurutnya, pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma yang dialami mangsa yang masih muda apabila terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal.
“Rayuan tertuduh juga sedikitpun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatannya,” katanya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

