
RIYADH – Seekor burung pemangsa falkon dari Mongolia dijual pada harga SR1.4 juta (RM1.5 juta), sekali gus mencatatkan rekod baharu dalam lelongan burung pemangsa Mongolia di Pameran Burung Pemangsa dan Pemburuan Antarabangsa Saudi di Arab Saudi, lapor saluran berita Arab News.
Jualan tersebut berlaku pada malam kelima lelongan berkenaan, menyaksikan tiga ekor burung pemangsa daripada spesies saker muda dijual pada jumlah keseluruhan SR1.651 juta (RM1.8 juta)
Burung pertama dijual pada harga SR151,000 (RM160,000) manakala burung kedua bernilai SR100,000 (RM108,000).
Bidaan bagi burung ketiga bermula pada SR100,000 (RM108,000) sebelum melonjak sehingga SR1.4 juta (RM1.5 juta), menjadikannya burung pemangsa termahal yang pernah dijual di lelongan tersebut setakat ini.
Pameran itu telah menyediakan kawasan khas untuk burung pemangsa dari Mongolia buat tahun kedua berturut-turut, mencerminkan popularitinya dalam kalangan peminat burung pemangsa di Arab Saudi dan rantau sekitar.
Ia menampilkan burung pemangsa dari Mongolia, terutamanya daripada spesies saker, yang amat dihargai kerana saiznya yang besar, kepak yang lebar serta ketahanannya.
Bulunya mempunyai pelbagai variasi warna daripada rona terang hingga coklat tua, sekali gus menawarkan kepelbagaian yang dinilai tinggi oleh para peminat dan pembela burung pemangsa. – AGENSI
The post Burung pemangsa dari Mongolia dilelong RM1.5 juta appeared first on Kosmo Online.
