
Kebelakangan ini terdapat banyak laporan yang hadir berkenaan siri peranti terbaru yang diperkenalkan oleh Google, iaitu siri komputer riba dan tablet Googlebook. Terkini, terdapat satu lagi model baru yang telah tertiris ke arena web, dan ia adalah oleh Acer.
Acer Googlebook 14 atau dikenali dengan kod namanya “Moonstone” nampaknya akan tampil dengan spesifikasi keseluruhan yang lebih premium berbanding dengan beberapa peranti jenama lain yang telah tertiris setakat ini. Acer Googlebook 14 dilaporkan akan hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2.8K dan kadar segar semula 120Hz.
Acer Googlebook 14 juga nampaknya adalah salah satu pilihan Googlebook yang agak berkuasa, dimana ia akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” yang terbaru. Terdapat dua model cip yang diperlihatkan setakat ini, termasuklah Intel Core Ultra 5 325 dan juga Intel Core Ultra 7 355.

Dari segi konfigurasi memori dan storan, pilihan lengkap belum diperlihatkan lagi, tetapi menurut laporan-laporan semasa, Acer Chromebook 14 ini akan hadir dengan 16GB memori LPDDR5X dan 256GB storan SSD PCIe 4.0.
Apa yang menarik mengenai Acer Chromebook 14 ini ialah penyenaraiannya di laman web Bluetooth SIG memperlihatkan banyak model yang ditawarkan, jadi jangkaannya ialah komputer riba ini akan hadir dengan banyak penawaran konfigurasi yang berbeza, mungkin dari segi cip pemprosesan juga.
Jangkaan kami ialah Acer, sama seperti jenama-jenama lain yang akan menawarkan pilihan Googlebook mereka sendiri akan memperkenalkan komputer-komputer riba Googlebook sewaktu acara IFA 2026 yang akan berlangsung pada awal bulan September ini.

