Butiran Prestasi Cip Intel Lunar Lake Tertiris Ke Arena Web – Memperlihatkan Penggunaan Kuasa Dan Suhu

TechnologyDigital
9 Sep 2024 • 2:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada minggu lepas, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V “Lunar Lake” mereka, dan memperlihatkan sejumlah jenama dan model komputer riba yang akan menggunakan cip pemprosesan tersebut.

Intel Lunar Lake dijangka memperlihatkan penggunaan kuasa yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini, dari 0.5W sehinggalah sekitar 33W ke 36W dalam penggunaan kuasa elektrik yang dijangka membantu dalam meninggikan lagi jangka-hayat bateri komputer riba tanpa perlu risau mengenai kompromi dari segi prestasi.

Baru-baru ini, peniris maklumat kelengkapan komputer terkemuka, @harukaze5719 di X/Twitter telah menunjukkan gambar yang memperlihatkan butiran cip pemprosesan Intel Lunar Lake pada komputer riba Dell XPS 13.

Butiran seperti model asas CPU, jumlah penggunaan tenaga elektrik dan suhu pakej CPU diperlihatkan. Komputer ini nampaknya menggerakkan penanda-aras CineBench R24 dan memperlihatkan beberapa butiran menarik seperti penggunaan kuasa elektrik serendah 0.5W dan setinggi 36W sahaja, walaupun apabila menggerakkan perisian penanda-aras tersebut.

Apa yang menarik disini ialah suhu CPU yang mencecah 101 darjah Celcius apabila ujian penanda-aras digerakkan, mungkin kerana komputer riba ini masih lagi berada dalam fasa ujian, dan beberapa kemaskini diperlukan untuk menstabilkan suhu cip pemprosesan tersebut.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, komputer-komputer riba dikuasakan cip Intel Core Ultra 200V dijangka akan memasuki pasaran sekitar 24 September ini untuk pasaran-pasaran terpilih.