Setelah beberapa tahun memegang tempat pertama sebagai model kereta elektik paling popular di Malaysia, hari ini BYD Atto 3 2026 diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Diedarkan oleh BYD Sime Motors, menariknya BYD Atto 3 2026 yang diperkenalkan di Malaysia merupakan pasaran pertama untuk rantau Asia Pasifik.

Terdapat dua versi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu versi Ultra dan Premium. Versi Ultra mempunyai bateri BYD Blade bersaiz 60.48 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 480km. Fungsi pengecasan pantas DC adalah setinggi 110 kW. dan AC 7kW. Ia mempunyai pacuan hadapan dengan motor elektrik berkuasa 150 kW, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3saat.
Versi Premium pula membawakan spesifikasi tertinggi dengan bateri lebih besar iaitu 74.88 kWh yang memberikan jarak perjalanan sehingga 600km NEDC dan menyokong pengecasan pantas DC setinggi 220 kW dan AC 11kW. Dengan motor elektrik pacuan belakang yang memberikan kuasa 230kW, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat. Memandangkan ia mempunyai pacuan belakang, terdapat ruang storan but hadapan (frunk) berkapasiti 101L.

Selain dari itu, rekaan luarannya dikemaskini dengan rekaan hadapan dan belakang yang baharu, manakala ruang dalaman dwi-tona, tempat duduk dengan sokongan postur badan, tuil gear di bahagian stereng, pengecas nirwayar 50W dan banyak lagi, termasuklah paparan instrumen yang lebih besar, kini bersaiz 8.8-inci. Ia turut menyokong fungsi V2L sebanyak 3.3kW.
BYD Atto 3 hadir dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000km jarak perbatuan, jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 jarak perbatuan, dan jaminan pacuan elektrik selama 8 tahun atau 160,000 km jarak perbatuan.

BYD Atto 3 Ultra akan dijual pada harga 125,800 manakala BYD Atto 3 Premium akan dijual pada harga RM 138,800. Promosi pembelian ditawarkan untuk 500 pembeli pertama, akan menerima diskaun Overtrade bernilai RM 10,000 dan holeh memilih sama ada pengecas dinding atau pakej penyelenggaran selama 6 tahun tahun.

Dengan hadirnya BYD Atto 3 2026 ini ia memberikan peluang kepada pembeli asal untuk menaiktaraf BYD sedia ada, dan juga bakal menarik minat bakal pengguna EV baharu memandangkan harganya agak menarik jika dibandingkan dengan jarak perjalanan dan fungsi yang ditawarkannya. Bagi anda yang berminat, anda boleh hadirkan diri ke Simie Motors MotorExpo 2026 di Level 2, XOX Arena, The Arch Galeries Kuala Lumpur dari 5-7 Jun, 10 pagi hingga larut malam.



