BYD Atto 3 Facelift Dikesan Sedang Diuji – ADAS Lebih Canggih, Lancar Tidak Lama Lagi

TechnologyCars
4 Feb 2025 • 11:45 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

BYD Atto 3 yang telah diberikan penyegaran rekaan kini mula kelihatan di jalan raya China menjelang pelancaran rasminya yang dijadualkan berlangsung tahun ini. CarNewsChina mendedahkan bahawa selain perubahan luaran, SUV elektrik ini turut menerima beberapa naik taraf dari segi kelengkapan, termasuk sistem bantuan pemandu (ADAS).

Sentuhan Baharu

image is not availableimage is not available

Dari segi reka bentuk, imej intipan menunjukkan Atto 3 facelift memiliki bampar depan baharu yang menempatkan ruang bukaan udara (air vent). Di tengah ruang bampar pula terdapat komponen ambilan udara yang besar. Bahagian belakang juga diberikan sedikit perubahan, termasuk diffuser hiasan baharu serta spoiler bumbung yang lebih besar, lengkap dengan dua lampu brek menegak.

Satu lagi perubahan menarik ialah pilihan warna baharu dalam rona kuning air (beige), yang dipercayai diambil daripada model kembarnya yang lebih kecil, BYD Yuan Up (atau Atto 2). Selain itu, jalur krom hiasan di bahagian skirt sisi turut menambahkan elemen premium kepada rekaan keseluruhan.

Peningkatan Sistem Bantuan Pemandu (ADAS)

Selain perubahan reka bentuk, CarNewsChina turut melaporkan bahawa Atto 3 versi facelift ini akan menerima sistem kamera baharu. Ini memberi petunjuk bahawa BYD mungkin menaik taraf sistem bantuan pemandu bagi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan tersebut. Langkah ini berkemungkinan diambil susulan keputusan kurang memberangsangkan yang diperoleh Atto 3 dalam ujian ADAS Euro NCAP sebelum ini.

Trenkuasa & Bateri Kekal Sama

image is not availableimage is not available

Dalam satu dokumen pendaftaran rasmi kerajaan China, model facelift ini disahkan masih menggunakan trenkuasa dan bateri yang sama seperti model sebelumnya. Ini bermakna Atto 3 akan terus menggunakan e-Platform 3.0 milik BYD, bukannya versi lebih canggih iaitu e-Platform 3.0 Evo yang digunakan pada model terbaru seperti BYD Seal 2025.

Platform e-Platform 3.0 Evo menggunakan seni bina 800V yang membolehkan pengecasan lebih pantas berbanding sistem 400V yang ada pada Atto 3 sedia ada.

Pelancaran Dijangka Tidak Lama Lagi

Dengan kemunculan Atto 3 facelift di jalan raya China untuk ujian terakhir, pelancarannya dijangka akan berlaku dalam masa terdekat. CarNewsChina turut menjangkakan bahawa model 2025 ini mungkin diperkenalkan seawal suku kedua (Q2) tahun ini.

image is not availableimage is not available

Dari segi harga, model Atto 3 versi semasa dijual pada harga bermula CNY 116,800 (~RM72,130). Dengan penambahbaikan yang diperkenalkan, tidak mustahil harga model facelift ini akan lebih tinggi.

Sumber: CarNewsChina

View Original Article