
Pembukaan rasmi BYD Mansion Macalister oleh BYD Malaysia dan Sime Motors bukan sekadar pelancaran bilik pameran premium baharu, malah turut mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam mempercepatkan pertumbuhan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara.
Terletak di tengah bandar warisan George Town, BYD Mansion Macalister menjadi simbol bagaimana pelaburan global dalam sektor EV semakin yakin terhadap potensi pasaran Malaysia, khususnya hasil sokongan dasar pro-EV yang digerakkan MITI sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan rangkaian lebih 40 bilik pameran dan lebih 30 pusat servis selepas jualan di seluruh negara, BYD dan Sime Motors terus memperkukuh keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik menerusi akses servis lebih meluas, pembangunan tenaga kerja tempatan serta pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.

Majlis pelancaran itu turut meraikan pemilik BYD ke-5,000 di wilayah utara, sekali gus memperlihatkan penerimaan EV yang semakin berkembang di luar Lembah Klang.

Naib Presiden BYD Co., Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pacific, Liu Xueliang berkata, Malaysia dilihat sebagai antara pasaran penting dalam strategi pertumbuhan EV syarikat itu di rantau Asia Pasifik.
“Pelaburan berterusan kami dalam pembangunan bakat tempatan serta teknologi EV mencerminkan komitmen jangka panjang BYD terhadap Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan menegaskan bahawa sokongan selepas jualan dan pembangunan rangkaian tempatan menjadi antara faktor utama dalam mempercepat penerimaan EV di negara ini.
Menurut beliau, kemudahan seperti pusat servis, hab pengecasan dan juruteknik bertauliah memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna lebih yakin untuk beralih kepada kenderaan elektrik.
Langkah agresif pemain industri seperti BYD Sime Motors juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EV serantau, termasuk sasaran meningkatkan penggunaan kenderaan rendah karbon dan pembangunan industri mobiliti masa depan.
Selain pelaburan infrastruktur, BYD Sime Motors turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan menerusi latihan teknikal dan profesional bagi memastikan kepakaran EV bertaraf global dapat dibangunkan dalam negara.
Sempena pembukaan pusat baharu itu, BYD Sime Motors turut menganjurkan konvoi media sejauh 360 kilometer dari Ara Damansara ke Pulau Pinang bagi membuktikan kemampuan teknologi EV moden dari segi prestasi, keselesaan dan perjalanan jarak jauh.
Dengan sokongan dasar kerajaan, pelaburan berterusan pemain industri serta peningkatan keyakinan pengguna, perkembangan sektor EV negara kini dilihat semakin menuju ke arah arus perdana.
The post BYD Mansion Macalister Jadi Bukti Dasar MITI Pacu Keyakinan EV di Malaysia appeared first on TW Media.



