ByteDance Dijangka Membelanjakan $14 Bilion Untuk Cip AI NVIDIA H200

TechnologyBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 1:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

NVIDIA kini sudah dibenarkan untuk menjual cip pemprosesan AI NVIDIA H200 kepada syarikat-syarikat di China, dan ByteDance, syarikat disebalik platform video ringkas Douyin dan TikTok telah dilaporkan akan membelanjakan sebanyak $14 bilion untuk membeli cip-cip tersebut.

ByteDance dilihat telahpun memperkenalkan perkhidmatan AI mereka sendiri melalui anak syarikat teknologi awanan Volcano Engine yang menghasilkan model bahasaraya mereka sendiri. Setakat ini, syarikat tersebut sudahpun mempunyai beberapa klien penting seperti China Central Television yang akan mengadakan acara Spring Festival Gala yang akan menunjukkan kemampuan teknologi China di kaca televisyen.

image is not available

Dalam pada itu, bot AI Doubao ByteDance juga dilaporkan telah memproses 50 trilion token sehari sepanjang bulan DIsember 2025, naik daripada 4 trilion token sehari. Volcano Engine juga mempunyai lebih dari 100 klien yang telah menggunakan 1 trilion token setakat ini.

Apa yang menarik mengenai pelaburan ByteDance terbaru ini ialah mereka juga mempunyai pasukan pembangunan cip AI mereka tersendiri yang telah berjaya membangunkan cip pemprosesan AI yang setanding dengan cip H20 pada harga yang lebih murah.

Akan tetapi, cip NVIDIA H200 ini dilihat jauh lebih berkuasa, dan ia dilihat lebih berbaloi untuk dibeli sekarang, daripada meluangkan masa dan tenaga untuk menghasilkan cip mereka sendiri. Walaubagaimanapun, ia dilihat bahawa ByteDance masih akan terus membangunkan cip pemprosesan AI untuk kegunaan mereka sendiri.