
ByteDance kini dilaporkan sedang membangunkan cip kecerdasan buatan mereka tersendiri, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar – terutamanya barat. Untuk tujuan pengeluaran cip berkenaan juga, ByteDance dikatakan sedang dalam perbincangan bersama pihak Samsung.
Cip ini dilihat akan memfokuskan kepada tugasan inferens, iaitu dalam memproses pelbagai pertanyaan dan persoalan pengguna.
Pelbagai syarikat teknologi dilihat sedang bangunkan cip mereka tersendiri, dan mengurangkan kebergantungan terutamanya kepada NVIDIA. Di China sendiri, Alibaba dan Baidu sedia turut memfokuskan kepada pembangunan cip dan telah memperlihatkan cip mereka. ByteDance dengan fokus terhadap penawaran chatbot dan juga penjanaan video, semestinya ingin lebih mengawal pemprosesan dan menjimatkan kos operasi dengan penggunaan cip mereka tersendiri.
Sekiranya semua berjalan lancar, ByteDance dijangka hadir dengan cip AI mereka ini pada tahun ini.




