Teknologi 5G jadikan pembelajaran lebih berkualiti

13 May 2019 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

BAYAN LEPAS - Warga pendidik perlu sentiasa bersedia dalam menempuhi cabaran revolusi Industri 4.0 dengan memanfaatkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G yang akan digunakan secara komersial menjelang 2021.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, persediaan itu perlu dilakukan mulai sekarang kerana ia bakal menawarkan kelajuan data yang akan memanfaatkan ekonomi dan memberi nilai tambah kepada taraf hidup termasuk dalam bidang pendidikan.

"Dalam persekitaran pendidikan yang kaya ICT, para guru harus memainkan peranan utama sebagai agen perubahan.

"Teknologi mampu mempengaruhi minat dan keupayaan untuk merubah amalan pembelajaran sedia ada ke peringkat yang lebih berkualiti," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Festival Guru Malaysia (FGM) 2019 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.

image is not available
Dr. Amin Senin (empat dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran FGM 2019 di Bayan Lepas hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin.

Tambah Maszlee, kerjasama berterusan di antara Kementerian Pendidikan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk mengadakan festival tersebut mampu melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran, berkualiti serta berdaya saing yang mampu menjadi pemangkin pembangunan negara.

Hadir sama, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam. dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.


View Original Article