Salah satu perkara yang mengejutkan ramai sejak semalam adalah apabila Google menggantung lesen Android untuk Huawei, sekaligus membuatkan ramai tertanya-tanya berkaitan masa depan arena telefon pintar dibawah Huawei.
Huawei sendiri sebelum ini telah mengumumkan yang mana mereka akan meneruskan sokongan sekuriti dan khidmat selepas jualan untuk telefon pintar mereka.

Terkini, kerajaan Amerika Syarikat turut memberikan lesen sementara kepada pihak Huawei – yang mana membenarkan Huawei membuat beberapa perkara sehingga 19 ogos 2019 kelak. Antara yang diliputi dibawah lesen sementara ini adalah termasuk membolehkan Huawei memberikan sokongan khidmat selepas jualan, termasuk kemaskini perisian dan sebagainya untuk peranti sedia ada mereka, termasuk perkakasan rangkaian yang ditawarkan Huawei. Selain daripada itu, ia juga akan membolehkan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat untuk menjual peralatan atau perkhidmatan kepada pihak Huawei untuk tempoh berkenaan.
Dengan penawaran lesen sementara ini juga, ia sekaligus membenarkan syarikat yang bergantung kepada Huawei untuk membuat peralihan yang lancar, selain tidak terancam dengan sebarang masalah sekuriti kritikal.
