Media Kelantan terus dihargai sebagai 'frontliners

23 Apr 2020 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KOTA BHARU - Petugas media terdiri daripada wartawan dan jurukamera yang berkhidmat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri Kelantan terus mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.

Terbaharu, Yayasan Kasih Kanser dan Kronik (YKKK) dan Min House Camp Kubang Kerian tampil menyampaikan sumbangan 70 'lunch box' kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) hari ini.

Timbalan YKKK, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, sumbangan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada wartawan serta jurugambar yang bersama-sama barisan hadapan dalam usaha menentang wabak koronavirus (Covid-19).

"Tugas media sangat penting dalam memberi penjelasan kepada rakyat berhubung bahaya Covid-19 agar rakyat sedar dan mematuhi PKP.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka dan mengharapkan pemberian makanan enak ini dapat menggembirakan semua petugas di sini," katanya kepada pemberita di pejabat New Straits Times Press (NSTP) di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Kemudi yang juga Ketua Biro Bernama Kelantan, Zabidi Ishar berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan itu selain memberi semangat kepada petugas media untuk terus menyampaikan berita terkini, sahih dan telus kepada rakyat.

"Sepanjang PKP ini Kemudi turut menerima pelbagai sumbangan termasuk ayam mentah, beras, air minuman dan penutup mulut serta cecair pembasmi kuman daripada pelbagai pihak.

"Ramai yang cakna dan menyedari tugas para media yang bersama-sama dengan barisan hadapan dalam merealisasikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan berharap wabak ini segera berakhir," katanya.




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved