Pemuda Amanah harap Pas jadi MB Perak

Politics
9 Mar 2020 • 8:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

IPOH - Pemuda Amanah Perak mengharapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu sekiranya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan tersebut.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk diangkat sebagai Menteri Besar bagi kepimpinan baharu yang akan ditubuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol itu sangat sesuai menerajui pentadbiran kerajaan negeri berbanding mana-mana wakil UMNO yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah selain ditolak rakyat Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Walaupun PAS hanya mempunyai tiga kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, namun begitu angka tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil untuk PAS mempunyai wakil Menteri Besar dalam kerajaan negeri Perak.

"Hal ini dapat dibuktikan ketika Pakatan Rakyat mempunyai majoriti di dalam DUN Perak PRU12 yang lalu dan mempunyai Menteri Besar dari wakil PAS iaitu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khairol Najib berkata, Razman mampu mentadbir Perak bersama gabungan PN itu selepas kerajaan baharu terbentuk nanti.

Katanya, Pemudah Amanah Perak mengharapkan suasana politik di Perak akan kembali tenang dan mendokan supaya kepimpinan baharu kerajaan negeri akan terus berdaya di bawah pentadbiran diketuai Razman.

Untuk rekod, Pas di Perak mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah berbanding rakan sekutunya daripada UMNO yang mempunyai 25 kerusi DUN.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muafakat Nasional yang menggabungkan UMNO dan Pas bersetuju mencalonkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu jika PN membentuk kerajaan di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Muafakat Nasional calon Saarani jadi MB Perak


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved