CAAM ambil alih sepenuhnya fungsi kawal selia industri penerbangan mulai 1 Ogos

LocalBusiness & Finance
21 Jul 2025 • 5:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CAAM ambil alih sepenuhnya fungsi kawal selia industri penerbangan mulai 1 Ogos

image is not available

21/07/2025 - 17:52

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Bermula 1 Ogos depan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil alih sepenuhnya semua fungsi kawal selia industri penerbangan awam negara susulan pembubaran rasmi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Dalam kenyataan bersama hari ini, Mavcom menjelaskan pengambilalihan tersebut merangkumi pelesenan, pengagihan hak trafik udara, pembangunan lapangan terbang, perkhidmatan udara luar bandar, isu-isu ekonomi dan persaingan serta pemantauan kawal selia secara keseluruhan.

Selain itu, CAAM turut akan mengurus dan menyelia platform digital seperti AeroFile dan AeroLicence yang digunakan untuk memproses permit penerbangan lintas ruang udara, pendaratan dan permohonan lesen.

“Pengambilalihan ini dibuat selaras dengan penguatkuasaan Akta Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2024 [Akta 856] yang menyaksikan CAAM menyerap sepenuhnya peranan Mavcom, sekali gus menjadi badan berkanun bebas dari segi kewangan,” menurut kenyataan itu.

Ketika ini, Mavcom bertindak sebagai pengawal selia aspek ekonomi dan pengguna industri penerbangan, manakala CAAM pula bertanggungjawab terhadap keselamatan dan sekuriti sektor penerbangan negara.

Langkah penyatuan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, memperkemas proses birokrasi serta mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan dalam industri berkenaan. - DagangNews.com

standard