CAB Cakaran pajak 414.63 hektar tanah Terengganu bagi projek ternakan ayam moden RM105 juta

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CAB Cakaran pajak 414.63 hektar tanah Terengganu bagi projek ternakan ayam moden RM105 juta Image from: CAB Cakaran pajak 414.63 hektar tanah Terengganu bagi projek ternakan ayam moden RM105 juta johardy12/08/2026 - 14:00 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - CAB Cakaran Corp Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, CAB Cakaran (Timur) Sdn Bhd memeterai tiga perjanjian pajakan selama 21 tahun dengan kerajaan negeri Terengganu bagi membangunkan projek ternakan ayam moden bernilai RM105 juta.

 

Perjanjian yang dimeterai pada 12 Ogos 2026 itu melibatkan tanah Rizab Padang Ragut seluas keseluruhan 414.63 hektar di Setiu dan Dungun, Terengganu.

 

Tanah terbesar ialah Lot No. 111708 di Padang Ragut Kampung Papan, Mukim Kumpal, Daerah Dungun yang berkeluasan 284.7 hektar, dengan kadar pajakan tahunan RM42,705.

 

Ia diikuti Lot No. 3413 di Mukim Tasik, Daerah Setiu seluas 101.50 hektar dengan kadar pajakan RM15,225 setahun, manakala Lot No. 6465 di Padang Ragut Cermin Kanan, Mukim Jerangau, Daerah Dungun meliputi 28.43 hektar pada kadar RM4,265 setahun.

 

Kesemua tanah berkenaan dipajak untuk tempoh 21 tahun dengan jumlah kadar pajakan sebanyak RM62,195 setahun, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia hari ni.

 

CAB Cakaran Timur akan membayar sejumlah RM124,390 bagi dua tahun pertama pajakan selepas perjanjian dimeterai.

 

100 reban ayam dalam dua fasa

Projek itu akan dibangunkan dalam dua fasa, dengan setiap fasa dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

 

Setiap fasa melibatkan pembangunan 50 reban ayam yang dilengkapi sistem reban tertutup, menjadikan keseluruhannya 100 reban apabila kedua-dua fasa siap.

 

Setiap fasa mempunyai anggaran kapasiti ternakan agregat sebanyak satu juta ekor ayam.

 

Anggaran pelaburan RM105 juta dibuat berdasarkan penilaian semasa terhadap keperluan keseluruhan pembangunan projek berkenaan.

 

Pelaburan itu merangkumi antaranya pembinaan reban ayam, infrastruktur berkaitan dan kemudahan sokongan, sistem sokongan tenaga solar serta kerja awal penyediaan dan pembangunan tapak.

 

Kumpulan itu berkata, keputusan untuk memajak tanah berkenaan berbanding membelinya membolehkan CAB mengelakkan perbelanjaan modal awal yang besar, sekali gus membantu memelihara aliran tunai dan fleksibiliti kewangannya.

 

Tempoh pajakan selama 21 tahun itu juga memberikan kestabilan operasi kepada kumpulan dan membolehkan CAB melaksanakan perancangan serta pembangunan jangka panjang bagi projek ternakan ayam moden tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved