
KUALA LUMPUR - Industri media tempatan kini berada di persimpangan kritikal apabila berdepan pelbagai cabaran dari aspek pendanaan, dominasi platform luar dan lambakan laporan berita tidak sahih yang disebarkan oleh ‘jurnalis awam’.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, evolusi industri media perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, bagi memastikan kelestarian dan survival media tempatan dalam jangka panjang.
“Isu kebergantungan kita kepada platform luar seperti TikTok dan Facebook perlu diperhalusi.
“Kita tidak memiliki sebarang kawalan ke atas platform ini, dan pada bila-bila masa kandungan atau portal media boleh dinyahaktifkan.
“Contoh pada Februari lalu di mana beberapa portal media tempatan digantung susulan laporan berkenaan video gangguan seksual terhadap kanak-kanak di sebuah surau, menjadi bukti betapa terdedahnya media tempatan kepada tindakan unilateral oleh penyedia platform antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panel jemputan pada Seminar ‘Media and Nation-Building: Ethics, Cyber Protection and Regulatory Frameworks’ di sini hari ini.
Bengkel seminar berkenaan anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Selain itu, Namanzee berkata, media arus perdana juga berdepan cabaran dari aspek kredibiliti maklumat apabila bersaing dengan pelbagai pelapor tidak rasmi di media sosial yang sering menyebarkan berita tidak disahkan lebih pantas daripada media tradisional.
“Wartawan terikat dengan etika dan perlu membuat semakan fakta. Tetapi kini, berita palsu bergerak lebih pantas kerana ia tidak melalui proses verifikasi,” katanya.
Menurut beliau, dasar media negara perlu diperbaharui agar lebih holistik dan inklusif, dengan menekankan perlunya ruang dan sokongan untuk wartawan menyampaikan laporan sahih dan berintegriti.
Pendanaan: Isu Kritikal Industri Media
Sementara itu Pengerusi Eksekutif Free Malaysia Today (FMT), Datuk Nelson Fernandez yang turut menjadi panel, menegaskan pendanaan masih menjadi perkara penting dalam memastikan industri media terus hidup dan berkembang.
“Kita boleh berbincang tentang teknologi, evolusi dan masa depan media, tetapi realitinya, kalau tiada duit, kita tidak mampu bayar gaji pekerja.
“We are all still struggle to find revenue sources dan bukan hanya kami sahaja, syarikat besar yang sudah lama dalam industri juga berhadapan isu sama, malah mengecilkan operasi, mengurangkan pekerja.
Tambah beliau, media terpaksa meletakkan kandungan berbayar untuk memastikan kesinambungan operasi, meskipun keputusan itu tidak popular di kalangan pembaca.
“Dan bila ada yang bertanya kenapa banyak laporan berita berkait kandungan berbayar, kandungan berbayar itulah yang memboleh pembaca lain membaca laporan berita kami dengan percuma. Ada kompromi yang perlu dilakukan syarikat media.
“Kami bukan dalam industri ini untuk jadi kaya. Realitinya, kita adalah wartawan yang masih dengan satu sut, satu baju dan seluar. Mata wang sebenar kami hanyalah pengaruh,” katanya. - 30 Mei, 2025
The post Cabaran media tempatan: aspek dana, dominasi platform luar appeared first on Scoop.

