TUMPAT - Seorang lelaki nekad melarikan diri dan meninggalkan sebuah kereta mengandungi 100 liter petrol seludup selepas diserbu anggota penguat kuasa di Kampung Geting di sini pada Selasa.
Serbuan jam 8.02 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, terdahulu pihaknya telah mengekori kereta jenis Proton Saga Iswara yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari sebuah stesen minyak di Terbak.
"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kereta tersebut telah berhenti di hadapan sebuah rumah di Kampung Geting.
"Suspek dipercayai melarikan diri sebaik serbuan dilakukan," katanya
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tangki kereta tersebut disyaki telah diubah suai bagi tujuan membawa petrol dalam kuantiti yang lebih besar.
Ujarnya, kes disiasat mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Hanif Yusabra memberitahu, KPDN Kelantan akan terus memperhebat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.



