
SHAH ALAM - Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak pada Selasa, sehubungan itu memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat perlu dihormati.
"Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam perlembagaan Malaysia bagi melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara," katanya.
Menurut kenyataan itu, GPS menegaskan bahawa kepentingan negara lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat serta negara melebihi kepentingan peribadi.
GPS pada Ahad bersetuju untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Mengumumkan perkara itu pada Ahad, Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS juga memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
