Cadangan cukai cecair vape dinaikkan 10 kali ganda kepada RM4, KKM tunggu maklum balas MOF

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cadangan cukai cecair vape dinaikkan 10 kali ganda kepada RM4, KKM tunggu maklum balas MOF

image is not available

07/10/2025 - 12:53

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt – Kementerian Kesihatan mencadangkan kadar cukai terhadap cecair vape dinaikkan kepada RM4 bagi setiap mililiter berbanding kadar semasa 40 sen, sebagai langkah mengurangkan penggunaannya menjelang pelaksanaan larangan penuh di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kementeriannya kini menunggu maklum balas mengenai perkara itu.

Ia adalah kenaikan 10 kali ganda berbanding 40 sen ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang mempersoalkan mengapa cukai terhadap produk vape, terutamanya yang mengandungi nikotin, tidak setara dengan rokok di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kerajaan sedang merancang pelaksanaan larangan berperingkat terhadap penjualan dan penggunaan produk rokok elektronik serta vape di seluruh negara.

“Pelan kerajaan akan bermula dengan larangan ke atas peranti vape sebelum diperluas kepada semua produk berkaitan vape secara beransur-ansur,” katanya.

Wan Saiful turut membangkitkan persoalan sama ada kadar cukai baharu itu boleh dilaksanakan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 bagi memastikan cukai terhadap vape setara dengan rokok.

“Bolehkah Kementerian Kesihatan memberi jaminan iaitu menjelang Hari Belanjawan 2026, cukai ke atas nikotin dalam vape akan disamakan dengan rokok? .

“Vape jauh lebih murah, tiada harga lantai seperti rokok, jadi ramai beralih kepada vape. Sepatutnya kadar cukai vape dan rokok sama,” katanya.

Menjawab soalan itu, Lukanisman berkata, KKM akan mengemukakan memorandum kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan terhadap pelaksanaan larangan sepenuhnya penggunaan rokok elektronik dan vape dalam tahun ini.

Beliau berkata, kelulusan dasar Kabinet diperlukan untuk melaksanakan pengharaman penuh penggunaan vape di seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan sedang merangka pelaksanaan larangan secara berperingkat bermula dengan peranti sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua produk vape.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan bagi menangani penyalahgunaan produk berkenaan yang semakin menjadi isu kesihatan awam.

Setakat ini, enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah mengumumkan tidak akan mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. - DagangNews.com

featured standard