
KUALA LUMPUR - Cadangan mantan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar banjir tahunan negara dijadikan produk ‘pelancongan kesukarelawanan’ terus dikecam ramai.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak sensitif dan hilang simpati terhadap penderitaan rakyat yang ditimpa musibah banjir.

“Saya sokong idea dan pemikiran di luar kotak mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara, tetapi idea sebegini pada hemat saya adalah idea seorang manusia yang jauh dari kehidupan masyarakat sebenar.
“Pemimpin ini hanya fikir soal bagaimana negara boleh dapat sumber pendapatan daripada kesusahan dan penderitaan rakyat, namun langsung tidak fikir bagaimana nak atasi masalah banjir,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Nazri dipetik sebuah portal bahasa Inggeris sebagai berkata, pelancong boleh membantu dengan kerja sukarelawan semasa banjir.
Beliau berkata, cadangan itu bukan mengenai pelancong datang semata-mata untuk berseronok, tetapi mereka juga boleh belajar sebagaimana banjir di daerah Kuala Krai, Kelantan pada 2014 yang disifatkan seperti ‘pesta’ pada waktu itu.
Tengok dua gambar kat bawah ni.
— Khairul Azri (@mkhairulazri) June 18, 2022
Camna manusia yg gelar diri dia pemimpin,wakil rakyat boleh terdetik, terfikir sesaat pun nak monetize benda ni atas nama 'Volunteer Tourisms'/Voluntourism.
Tahun lepas berapa puluh org mati? billion nilai kemusnahan yang rakyat kena tanggung? 🤌 pic.twitter.com/R3jxyEx6xX
Menurut Young Syefura atau lebih mesra disapa Rara, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir pada 17 Disember tahun lalu.
Jelas beliau, DUN itu merangkumi kawasan peranginan Janda Baik dan beberapa lagi kawasan tarikan pelancong dalam daerah Bentong yang turut terjejas dalam bencana itu.
“Ia juga kawasan pertama terjadinya banjir pada hari itu sebelum bencana tersebut merebak ke kawasan lain di Bentong, menyebabkan banyak tempat tarikan pelancong di Janda Baik masih tidak dibaik pulih.
“Apa lagi infrastruktur seperti jambatan dan jalan tidak dibaik pulih langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan mahupun agensi yang berkaitan,” katanya.
Rara berkata, memang benar, situasi pasca banjir terutamanya beberapa hari selepas bencana itu memerlukan ramai sukarelawan bagi membantu mangsa dalam kerja pembersihan.
Namun katanya, adalah salah dari segi etika dan pemikiran jika kerajaan memandang hal ini sebagai satu lubuk pendapatan untuk negara mahupun negeri.
“Dimanakah empati dan sensitiviti Nazri ketika menyuarakan pendapat ini?
“Mana hilangnya belas simpati kepada mangsa apabila kita seolah-olah meraikan kesusahan dan musibah yang ditimpa oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Rara turut meminta mana-mana pihak untuk turun ke kawasan DUN Ketari bagi mendengar sendiri keluhan mangsa banjir.
"Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak untuk berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.
"Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda serta kehidupan hanyut dibawa arus banjir," katanya, sinis.

Terdahulu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman turut meluahkan kebimbangan mengenai cadangan tersebut.
Beliau berkata, semua pihak sepatutnya perlu melaksanakan alternatif yang lebih baik dengan mengambil langkah pragmatic bagi menangani banjir bukannya menggalakkan lagi bencana tersebut.
Katanya, dalam bencana banjir tahun ini saja lebih 40 orang sudah terkorban dan negara mengalami kerugian RM6.5 bilion.
“Jadi takkan kita rela korbankan 40 orang dan rugi RM6.5 bilion semata-mata kita ada peluang untuk promosikan pelancongan sukarelawan.
“Patutnya ada langkah pragmatik untuk tangani banjir bukan nak galakkan lagi banjir,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam. - Getaran, 19 Jun 2022

