Cadangan pengurangan perbelanjaan operasi: Pengambilan doktor, jururawat tidak terjejas - Anwar

LocalPolitics
4 May 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan pengurangan perbelanjaan operasi:  Pengambilan doktor, jururawat tidak terjejas - Anwar
Anwar

PUTRAJAYA - Kerajaan menegaskan pengambilan pegawai perubatan dan jururawat tidak terjejas berikutan cadangan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pembinaan klinik yang telah dirancang juga tidak terkesan.

"Saya hendak jelaskan mengenai penyusunan semula kajian perbelanjaan. Ada kekeliruan perubatan. Pengambilan doktor baharu, jururawat itu tidak terjejas. Pembinaan klinik tidak terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun perbelanjaan Kementerian Pendidikan dikurangkan, pembinaan kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar tidak terjejas.

"Ada orang agak cepat melenting. Dia kata bagaimana boleh tutup atau kurangkan perbelanjaan untuk sekolah atau hospital, tidak," jelas beliau.

Minggu lalu, MoF dilapor mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Cadangan itu dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.

Pengurangan berkenaan membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak MoF memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.

Syor pengurangan tersebut dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026.