DALAM suasana geopolitik dan geoekonomi global yang semakin tidak menentu, cadangan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) wajar dilihat sebagai satu inisiatif strategik demi kepentingan negara, dan bukannya seruan politik.
Konflik berpanjangan di Asia Barat telah memperlihatkan bagaimana ketegangan geopolitik mampu mencetuskan kesan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk lonjakan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan inflasi yang merentas sempadan.
Dalam konteks ini, dasar luar negara Malaysia memainkan peranan yang semakin kritikal sebagai benteng kestabilan ekonomi.
Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia tidak boleh memisahkan antara diplomasi dan kepentingan ekonomi.
Sebaliknya, dasar luar perlu berfungsi sebagai instrumen utama dalam mengurus risiko global serta memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara.
Pendekatan non-partisan yang diketengahkan berpotensi menjadi asas penting dalam memperkukuh kredibiliti dasar luar Malaysia.
Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman di peringkat negeri dan nasional, cadangan ini mencerminkan keperluan untuk memperkukuh sinergi antara pelbagai pihak dalam mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi global.
Dalam persekitaran antarabangsa hari ini, konsistensi dasar ekonomi adalah “mata wang” utama. Rakan dagang, pelabur dan negara sahabat menilai bukan sahaja dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana dasar tersebut kekal stabil tanpa mengira dinamika politik domestik.
Tanpa kesepakatan nasional, dasar luar berisiko dilihat tidak menentu sekali gus melemahkan kesatuan perancangan, koordinasi dasar, serta kedudukan Malaysia dalam rundingan antarabangsa.
Platform serantau seperti ASEAN menjadi contoh jelas bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan dasar luar untuk mengurangkan impak krisis global.
Melalui kerjasama serantau, negara dapat menyelaras dasar perdagangan, memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga, serta memastikan rantaian bekalan kekal berfungsi.
Namun, untuk memainkan peranan yang lebih berkesan, Malaysia perlu tampil dengan pendirian yang konsisten dan bebas daripada pertikaian dalaman.
Dalam masa yang sama, Malaysia perlu mengurus hubungan dengan kuasa besar secara seimbang.
Persaingan antara Amerika Syarikat dan China menuntut pendekatan dasar luar yang berhati-hati.
Kedua-dua negara ini merupakan rakan dagang utama Malaysia, dan sebarang ketidaktentuan dalam hubungan dengan salah satu pihak boleh memberi kesan langsung kepada eksport, pelaburan dan pembangunan teknologi negara.
Pendekatan non-partisan akan memastikan dasar luar Malaysia kekal berteraskan kepentingan nasional, bukan dipengaruhi sentimen jangka pendek.
Isu keselamatan tenaga dan makanan turut mengukuhkan keperluan ini. Krisis global semasa menunjukkan bahawa kebergantungan kepada sumber tertentu boleh menjadi risiko strategik.
Malaysia perlu memperluas jaringan diplomatik dengan negara pengeluar bagi menjamin bekalan yang stabil.
Cadangan ini wajar dipertimbangkan secara konstruktif kerana ia menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor dan komitmen jangka panjang dan ianya sesuatu yang hanya boleh dicapai melalui kesepakatan nasional yang matang.
Cadangan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara ini juga selari dengan keperluan memperkukuh dasar luar.
Majlis ini berpotensi menjadi platform penyelarasan antara dasar domestik dan antarabangsa, dengan menghimpunkan kerajaan, wakil rakyat pelbagai latar, ahli akademik dan industri.
Dalam konteks dasar luar, ia boleh membantu membentuk pendirian nasional yang lebih menyeluruh dan strategik dalam isu global.
Lebih penting, pendekatan ini akan meningkatkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.
Dalam persekitaran global yang dipacu oleh persepsi risiko, negara yang dilihat stabil, konsisten dan bersatu akan lebih diyakini sebagai rakan ekonomi jangka panjang.
Ini memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan asing, memperluas pasaran eksport dan memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai global.
Akhirnya, seruan untuk pendekatan non-partisan bukan sekadar idealisme, tetapi satu keperluan praktikal dalam dunia geoekonomi yang semakin mencabar.
Dasar luar negara kini menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Malaysia perlu bergerak dengan pendekatan yang bersatu dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Seperti yang ditekankan oleh Dr Sam, keutamaan negara mesti melangkaui garis kepentingan sempit dan tertumpu kepada kelangsungan nasional.
Dalam konteks dasar luar, kesepakatan inilah yang akan menentukan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan, relevan dan dihormati di pentas antarabangsa.
* Dr Abdul Muein Abadi ialah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia-Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (UKM-MPAT) & Felo The Future Research

