Cadangan sistem pendataan khusus bagi PTI, Bajau Laut

LocalPolitics
19 Jul 2025 • 12:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Azmie Lim

SEMPORNA: Satu sistem pendataan khusus perlu diwujudkan bagi mengenal pasti jumlah sebenar Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan komuniti Bajau Laut di daerah ini.

Cadangan yang diajukan oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) Semporna ini dilihat sebagai satu usaha penting bagi membantu pihak berkuasa dalam melaksanakan tindakan yang lebih berkesan terhadap isu berkaitan jenayah dan keselamatan di daerah ini.

Setiausaha MAN Semporna, NC Asmarah Asmad berkata, usaha ini akan dapat memudahkan pihak berkuasa untuk menjejaki pesalah, terutamanya yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ketiadaan data rasmi menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menjejaki pesalah. Jika tiada data, susah untuk kita ambil tindakan dan akhirnya jenayah terus berlaku tanpa sebarang penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Pemimpin Masyarakat yang dihadiri oleh 140 peserta terdiri daripada Ketua Anak Negeri, wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat.

Menurut Asmarah, pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mewujudkan sistem data berpusat yang melibatkan individu dan komuniti tanpa dokumen di daerah ini.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memulakan proses dokumentasi melibatkan komuniti Bajau Laut yang telah tinggal di Semporna sejak sekian lama, namun masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri rasmi.

“Jika mereka tidak layak dapat MyKad sekali pun, kenapa tidak diberi dokumentasi lain seperti rekod pengenalan tertentu? Kita jaga Orang Utan di Sandakan pun lengkap dengan tarikh lahir, berat badan dan dokumentasi. Inikan pula mereka yang lahir di tanah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mencari penyelesaian yang bersifat inklusif melibatkan komuniti Bajau Laut yang sebahagian besar lahir dan membesar di Semporna.

Asmarah juga berharap nasib penduduk asal dari suku Bajau, Kadazan, Dusun dan Murut di Pantai Timur, yang turut terlibat dengan masalah dokumentasi, dibela.

Katanya, masih ada yang tidak memiliki kad pengenalan, walaupun berasal dari Sabah, dan perkara ini berpunca daripada kekangan kewangan untuk berurusan.

“Kita harap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat mempergiatkan program turun padang di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Asmarah berkata seminar yang julung kali diadakan ini memberi fokus kepada usaha memperkasa peranan masyarakat dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang di daerah ini.

Katanya, seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tokoh akademik, Prof Dr Arbaat Hassan turut memberi pencerahan mengenai kepatuhan undang-undang dan pembangunan komuniti melalui pelancongan.

“Penganjuran seminar ini adalah langkah awal untuk menyatukan pandangan dan mencari penyelesaian tuntas terhadap isu yang telah berlarutan sejak sekian lama di Semporna.

“Kita mahu seminar ini menjadi titik permulaan kepada pendekatan baharu yang lebih tersusun dan berfakta.

“Dengan adanya pendataan dan kerjasama rentas agensi, saya yakin banyak perkara dapat diselesaikan secara berperingkat,” tambahnya.

View Original Article