Cadangan Sultan Pahang kemudi FAM perlu dinilai secara holistic

LocalFootball
7 Feb 2026 • 6:26 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

CADANGAN Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai calon paling layak untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar dilihat secara holistik dan berlandaskan rekod sebenar, bukan semata-mata pengalaman lampau atau jawatan yang pernah disandang.

Al-Sultan Abdullah pernah berkhidmat sebagai Presiden FAM dari tahun 2014 hingga 2017, selain memegang jawatan sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia serta terlibat dalam kepimpinan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum melepaskan semua jawatan tersebut susulan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. Pengalaman pentadbiran ini sememangnya signifikan, namun persoalan utama ialah sejauh mana tempoh tersebut memberi impak nyata kepada prestasi bola sepak Malaysia.

Jika diteliti melalui sudut pencapaian kompetitif, pasukan kebangsaan Malaysia sepanjang era tersebut tidak mencatat lonjakan ketara di ranking FIFA. Kedudukan tertinggi Malaysia adalah sekitar kelompok 150 terbaik dunia, dan tidak pernah menembusi kelompok 120 atau 100 teratas. Walaupun Malaysia sering dianggap kompetitif di peringkat ASEAN, Harimau Malaya masih gagal mengatasi Thailand dan Vietnam, apatah lagi apabila berdepan kuasa besar Asia Barat atau Asia Timur. Tambahan pula, Malaysia mencatat kekalahan paling teruk dalam sejarah pasukan kebangsaan apabila tewas 10–0 kepada United Arab Emirates pada 3 September 2015, satu rekod memalukan yang menjadi rujukan apabila menilai prestasi era terdahulu.

Tambahan pula, pembangunan pemain muda menjadi tanda soal. Sepanjang penglibatan Al-Sultan Abdullah di FAM, sistem pembangunan belia masih belum mantap dan berkesan. Kelemahan ini memaksa Kerajaan Malaysia sendiri untuk 'step-in' dan menubuhkan National Football Development Programme (NFDP) bagi membangunkan bakat muda, kerana FAM belum berjaya menyediakan sistem yang kukuh untuk memastikan aliran pemain berkualiti ke pasukan kebangsaan. Ini menunjukkan bahawa selain kepimpinan, struktur dan sistem yang mantap juga amat diperlukan untuk memastikan pembangunan berterusan.

Dari sudut komersial, era kepimpinan terdahulu juga menyaksikan isu berkaitan hak penyiaran Liga Malaysia. Perjanjian jangka panjang FAM bersama MP & Silva menimbulkan ketidakpastian apabila beberapa pasukan tidak menerima baki pembayaran hak siaran sepenuhnya. Laporan The Edge Malaysia dan Malay Mail mendedahkan bahawa walaupun sebahagian bayaran diagihkan kepada pasukan seperti yang dijadualkan, baki pembayaran tidak dibuat kerana jumlah pendapatan hak siaran tidak mencukupi untuk diagihkan secara penuh.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengurusan komersial pada era tersebut dan menjadi pengajaran tentang kepentingan struktur tadbir urus serta kontrak komersial yang jelas.

Kenyataan Takiyuddin yang menyebut bahawa FAM dahulu dikuatkan oleh persatuan bola sepak negeri, manakala kini persatuan negeri dilihat semakin lemah dan lebih berbentuk kelab, menimbulkan persoalan dari sudut kefahaman beliau terhadap struktur bola sepak moden. Realitinya, perubahan daripada model persatuan negeri kepada kelab profesional bukan kelemahan, sebaliknya satu keperluan yang ditetapkan melalui sistem pelesenan kelab AFC. Sistem ini memastikan pasukan beroperasi secara profesional, dengan struktur tadbir urus, kewangan, pembangunan belia dan kejurulatihan mengikut standard antarabangsa.

Dalam konteks bola sepak negeri, situasi di Pahang turut sering dibangkitkan. Walaupun tidak wajar mengaitkan Al-Sultan Abdullah secara langsung kerana pengurusan bola sepak Pahang berada di bawah Tengku Abdul Rahman, hakikat bahawa pasukan Pahang kini sudah menarik diri daripada saingan liga profesional tetap menjadi cerminan cabaran sebenar ekosistem bola sepak tempatan. Ia menimbulkan persoalan lebih luas tentang kemampuan struktur sedia ada untuk mengekalkan kelangsungan pasukan tanpa perlu meletakkan tanggungjawab itu kepada individu tertentu.

Penglibatan kerabat diraja dalam peranan kepimpinan FAM sememangnya membawa cabaran tersendiri, termasuk pendedahan kepada kritikan awam serta pandangan pelbagai pemegang taruh. Dalam konteks ini, sebarang isu atau kontroversi yang timbul berpotensi memberi implikasi negatif terhadap institusi diraja, memandangkan prestasi pasukan kebangsaan sering dijadikan ukuran utama terhadap keberkesanan badan induk bola sepak negara.

Sehubungan itu, adalah lebih wajar untuk memelihara kesucian dan martabat institusi diraja daripada sebarang kecaman atau kritikan yang tidak perlu. Oleh yang demikian, jawatan-jawatan utama seperti Presiden FAM adalah lebih sesuai disandang oleh individu awam, bagi memastikan institusi diraja kekal dihormati dan tidak terheret ke dalam polemik pentadbiran sukan.

Keseluruhannya, cadangan agar kepimpinan lama kembali menerajui FAM perlu dinilai dengan mengambil kira perubahan besar dalam landskap bola sepak global. Bola sepak hari ini menuntut pemahaman mendalam terhadap sistem pelesenan, pembangunan akar umbi berasaskan kelab, serta perancangan jangka panjang yang berteraskan prestasi dan tadbir urus moden. Pengalaman dan gelaran semata-mata tidak lagi mencukupi. Kepimpinan yang benar-benar memahami realiti semasa bola sepak profesional dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan adalah lebih relevan daripada nostalgia masa lalu.

Walaupun pengalaman dan sumbangan Al-Sultan Abdullah sebelum ini tidak boleh dinafikan, realiti bola sepak Malaysia kini menuntut pandangan baharu. Jika benar mahu ‘total reset’ seperti yang disuarakan oleh ramai penyokong, sewajarnya keutamaan diberikan kepada muka-muka baharu yang mampu membawa visi moden, mengukuhkan sistem kelab profesional, serta memastikan pembangunan pemain dan liga tempatan berjalan seiring dengan standard antarabangsa. Ini bukan menafikan jasa baginda sebelum ini, tetapi menegaskan bahawa bola sepak Malaysia perlu melangkah ke hadapan demi masa depan yang lebih kompetitif. - 7 Februari, 2026

P/s: Ibarat menampi padi yang bernas.

Zhafri Aminurashid adalah seorang perunding sukan dan pembaca Scoop

The post Cadangan Sultan Pahang kemudi FAM perlu dinilai secara holistic appeared first on Scoop.