
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan penawaran pajakan bagi pembangunan kawasan Kampung Baru di ibu negara yang boleh menjejaskan hak orang Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata terdapat cadangan membawa syarikat swasta bagi pembangunan kawasan itu tetapi menjejaskan kepentingan kaum Melayu dan ia tidak boleh diterima.
Selain menyifatkan cadangan penawaran pajakan sehingga 99 tahun tidak wajar, Anwar meminta ruang untuk mengkaji cadangan itu secara terperinci.
“Kita akan bincang dengan mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan pastikan pembangunaan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru dipertahankan.
“Kalau ada pajakan itu untuk 60, 99 tahun akan timbul keresahan masyarakat Melayu. Cadangan tentang pajakan ini, saya tak boleh terima... beri ruang saya kaji semula dan rujuk pendapat masyarakat tempatan sendiri,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. -Bernama
Bersambung..

