
Kebelakangan ini kita terdengar semula kes pengabaian berlaku di taska penjagaan kanak-kanak. Terbaru, kes seorang anak berumur setahun lebih yang didapati cedera dengan banyak kesan gigitan dan merah di badannya.
Melalui perkongsian yang dibuat di Facebook, ibubapa kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati melalui rakaman CCTV - anak tersebut diletakkan di satu bilik isolasi bersama beberapa anak-anak lain. Bilik kecil itu dilihat sangat tidak sesuai untuk diduduki anak-anak tersebut kerana disyaki keadaannya sejuk, lantainya tidak berlapik serta tidak disediakan apa-apa mainan mahupun tempat tidur.
Bahkan penjaga yang sepatutnya memantau anak-anak itu dipercayai kerap kali meninggalkan mereka dalam tempoh yang lama. Hal ini menyebabkan anak kecil itu berjaya dicederakan oleh anak-anak lain akibat tiada campur tangan dan pantauan orang dewasa.
Kes-kes seperti ini sudah tidak asing lagi berlaku di negara kita namun penyelesaian berkesan masih belum berjaya dilaksanakan setakat ini. Lantaran itu penulis terdetik berkongsikan cadangan berikut.
Diharapkan pihak Kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan penubuhan sebuah agensi khas yang boleh memantau aktiviti di taska-taska seluruh Malaysia dengan lebih kerap.
Dicadangkan agar pemantauan boleh dibuat setiap bulan, pada masa atau tarikh rawak supaya tidak dapat dijangka oleh pihak taska. Dari aspek kewangan pula, kerajaan perlu menyediakan bajet tertentu manakala ibubapa / penjaga dikenakan bayaran wajib yang mampu dibayar agar dapat membantu menggerakkan agensi ini bersama-sama.
Satu saluran aduan khas juga perlu diwujudkan untuk membantu memudahkan ibubapa / penjaga membuat laporan sekiranya mengesyaki terdapat pengabaian atau kecederaan berlaku di taska anak-anak mereka. Bagi menggalakkan ibubapa / penjaga memanfaatkan saluran ini, ianya perlu bebas dari karenah birokrasi serta bersifat mesra pengguna.

Sudah pastilah usaha seperti ini memerlukan kerjasama dan sumbangan semua pihak. Melalui agensi ini juga, kaedah pemantauan dapat diperhalusi lagi dan ditambah baik dari masa ke semasa.
Dengan adanya badan khas seperti ini, diharapkan ianya dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat buat anak-anak kita yang dihantar ke taska atau pusat penjagaan sepertinya.

Sebagai ibubapa / penjaga, pastinya kita inginkan yang terbaik buat anak-anak kita. Kebanyakan ibubapa / penjaga sekarang perlu keluar bekerja dan tidak dapat mengelak dari menghantar anak-anak ke pusat penjagaan. Maka tidak dapat tidak kita perlu terus bersama menggembleng usaha dan mencari cara agar persekitaran pusat-pusat penjagaan ini dipantau sebaiknya.
Mudah-mudahan dengan tertubuhnya agensi sedemikian dapat menyelesaikan isu berulang ini sekaligus membantu menyediakan pusat-pusat penjagaan yang lebih kondusif, selesa dan diyakini oleh semua.
KadangKaler adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.


