Cai ‘pakar’ rakam foto marin teknik ‘blackwater’

Environment
28 Oct 2026 • 10:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cai ‘pakar’ rakam foto marin teknik ‘blackwater’

Bagi kebanyakan orang, laut menyimpan misteri yang sukar diterokai. Namun, bagi Jialing Cai, 27, dunia bawah laut menjadi ruang untuknya menggabungkan minat terhadap hidupan marin dengan seni fotografi.

Anak kelahiran Chongqing, China itu bukanlah dibesarkan berhampiran laut. Sebaliknya, dia membesar di kawasan pedalaman yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari laut.

Siapa sangka, wanita yang pada awalnya mempelajari biologi marin itu akhirnya menjadi jurugambar bawah air yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Keistimewaan Cai terletak pada fotografi blackwater iaitu teknik merakam hidupan kecil yang muncul dari kedalaman laut ketika malam.

Menerusi teknik berkenaan, dia merakam pelbagai organisma kecil, termasuk zooplankton yang naik dari kedalaman 500 meter atau lebih ke permukaan air setiap malam.

Minatnya bermula ketika mengikuti kuliah di universiti.

Pada waktu itu, dia mempelajari fenomena diel vertical migration iaitu pergerakan hidupan mikroskopik dari laut dalam ke permukaan pada waktu malam.

“Saya terkejut apabila mengetahuinya. Ini bermakna, walaupun saya tidak pergi ke laut sedalam 500 atau 1,000 meter, laut dalam itu boleh datang kepada saya jika saya sanggup berada di kawasan perairan terbuka pada waktu malam,” katanya.

Penemuan itu menjadi titik permulaan kepada pengembaraannya. Cai mula mempelajari asas fotografi, mendapatkan pensijilan menyelam dan mendalami teknik merakam zooplankton.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila dia memenangi anugerah keseluruhan Ocean Photographer of the Year pada 2023.

Image from: Cai ‘pakar’ rakam foto marin teknik ‘blackwater’
Cai memberi penerangan mengenai foto-foto hasil bidikannya dalam satu pameran di Muzium Maritim Negara Australia di Sydney baru-baru ini.

Pada 2025, dia sekali lagi mencuri perhatian apabila memenangi Female Fifty Fathoms Award, anugerah yang mengiktiraf wanita inspirasi dalam bidang fotografi lautan.

Antara gambar yang menarik perhatian juri ialah hasil selaman blackwater pertamanya.

Foto itu memaparkan seekor anak sotong wunderpus yang dikelilingi larva udang, ketam dan cacing, seolah-olah seorang angkasawan kecil yang terapung di angkasa.

Bagi Cai, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, malah membuka peluang untuk membantu lebih ramai wanita muda yang mahu menceburi fotografi lautan.

“Saya berharap, secara beransur-ansur, saya juga akan dapat membantu wanita muda lain yang mempunyai aspirasi sama,” katanya.

Dia turut berpesan kepada mereka yang berminat meneroka dunia marin agar tidak berasa rendah diri hanya kerana tidak membesar berhampiran laut.

“Jika anda tidak membesar berhampiran laut seperti saya, jangan fikir anda kurang layak untuk menerokainya.”

Gambar-gambar hasil karya Cai bersama keseluruhan pameran Ocean Photographer of the Year yang dianjurkan bersama Oceanographic Magazine dan Blancpain telah dipamerkan di Muzium Maritim Negara Australia di Sydney, Australia baru-baru ini.

Kisah Cai membuktikan bahawa hobi yang bermula daripada rasa ingin tahu mampu berkembang menjadi satu pencapaian yang besar.

Bagi dirinya, kamera bukan sekadar alat merakam gambar, tetapi jendela untuk memperkenalkan keindahan hidupan laut yang jarang dilihat manusia.

The post Cai ‘pakar’ rakam foto marin teknik ‘blackwater’ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved