Caion mahu baharui rekod jaringan

Football
20 Jan 2023 • 12:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Caion teruja untuk turun beraksi bersama KL City pada musim ini. Foto FB KL City FC

PENYERANG baharu Kuala Lumpur City (KL City) FC, Herlison Caion, teruja melihat kualiti bahagian serangan yang dimiliki The City Boys sambil melaungkan keyakinan mahu memecahkan rekod jaringan yang dilakukannya semasa bersama Selangor FC musim lalu.

Penggempur dari Brazil berusia 33 tahun itu juga sangat selesa untuk bersama-sama pemain seperti Tchetche Kipre, Paulo Josue, Patrick Reichelt dan Romel Morales.

Katanya, situasi itu akan lebih banyak membantunya kerana berpeluang memiliki kebebasan bergerak di dalam kawasan lawan.

“Di bahagian serangan saya rasa teruja kerana ada Kipre, Paulo, Morales dan seorang lagi Patrick, saya pernah beraksi bersamanya dengan Suphanburi.

“Jadi melalui kehadiran ramai pemain sebegini, saya rasa kian bersemangat untuk membuktikan sesuatu di KL City.

“Malah saya meletakkan azam untuk menyumbat lebih banyak gol berbanding semasa di Selangor selepas menghasilkan 24 jaringan pada musim lalu,” katanya.

Selepas cemerlang membantu skuad Gergasi Merah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 serta meraih kedudukan kelima Liga Super, Caion membuat kejutan apabila memilih untuk bersama seteru Lembah Klang, KL City.

Situasi itu sememangnya tidak dijangkakan sebahagian besar peminat Selangor yang pada mulanya Caion akan kekal bersama Gergasi Merah.

Namun buat Caion, itu satu pilihan yang mudah kerana memang menyimpan hasrat meneruskan karier di Liga Malaysia selain mahu bekerjasama dengan Bojan Hodak.

“Ramai yang terkejut apabila mengetahui saya datang ke sini. tetapi ini bukan satu keputusan yang sukar sebenarnya apabila tawaran dari KL City datang.

“Bukan saya sahaja, isteri juga sangat selesa tinggal di Lembah Klang dan itu membuatkan saya terus menerima peluang bersama KL City.

“Pada masa sama, saya tidak sabar bekerjasama dengan Bojan, seorang jurulatih berpengalaman dan harap saya boleh mengikuti taktikal yang direncanakannya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved