
KUALA LUMPUR - Gabungan mewakili persatuan penghantar p-hailing dan e-hailing Malaysia menyifatkan caj bayaran di laluan pelepasan (Departure Lane) dan laluan ketibaan (Arrival Lane) di Terminal 1 serta 2, KLIA sebagai tidak masuk akal dan membebankan pemandu serta pengguna.
Dalam kenyataannya, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dan Komuniti Penghantar E-Hailing Malaysia turut mempersoalkan mengenai ujian percubaan sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) oleh Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) di laluan berkenaan.
“Persoalannya, adakah sistem yang sedang diuji dan bakal dikuatkuasakan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan? Adakah pengguna KLIA dan pemandu ehailing bahan ujian hingga menyusahkan kami semua,’’ katanya di sini hari ini.
Persatuan itu memberitahu, masih terdapat kelemahan pada sistem ini di mana ia mengakibatkan perjalanan ke lokasi “pick-up” mengambil masa lebih lama dan pihaknya sering menerima rungutan dari penumpang bahawa tempat menunggu di Terminal 2 panas, tiada pengudaraan yang baik dan memberi imej negatif kepada pengguna terutama pelancong.
“Sebelum ini, pihak MAHB telah melaksanakan sistem yang sama di Terminal 1 KLIA (E-Hailing Pickup), manakala di Terminal 2 KLIA (E-Hailing Pickup) pemandu E-Hailing dikenakan bayaran RM2 setiap kali masuk.
“Alhamdulillah, bagi caj ini terdapat beberapa E-Hailing Operator (EHO, termasuk Grab Malaysia) yang telah mengambil tanggungjawab memulangkan semula caj tersebut kepada pemandu.
“Bagi sistem ujian VAMS ini, kami turut menerima maklum balas pemandu-pemandu E-Hailing. Pada pandangan kami, isu ini bukan sahaja melibatkan pemandu E-Hailing, tetapi juga pengguna KLIA,’’ katanya hari ini.
Penghantar berkata, MAHB tidak boleh menggunakan alasan kesesakan di Departure Lane dan Arrival Lane untuk sewenang-wenangnya mengenakan bayaran kepada pemandu-pemandu E-Hailing serta pengguna.
Jelasnya, faktor seperti menunggu ruang untuk parkir, menurunkan penumpang terutama warga emas dan bagasi mereka perlu diambil kira sebelum MAHB mengenakan penalti RM100.
Langkah yang lebih wajar, katanya, adalah meletakkan penguatkuasa bagi mengawal lalu lintas.
“Memang benar, ada segelintir pemandu E-Hailing dan pengguna mengambil masa terlalu lama di Departure Lane, namun keadaan ini tidaklah sehingga mencetuskan kesesakan teruk.
“Bagaimana pula ketika waktu puncak? Pada masa itu, pemandu E-Hailing memerlukan lebih masa untuk menurunkan penumpang, manakala pengguna pula memerlukan masa tambahan untuk mengurus bagasi atau beratur di pintu masuk.
“Bayangkan jika pemandu terlebih 10 minit dan penumpang sudahpun masuk ke lobi pelepasan, pemandu terpaksa menanggung kerugian akibat langkah MAHB yang mahu jalan mudah bagi mengawal kesesakan,’’ katanya.
Justeru, Penghantar mendesak Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan trafik bagi mengawal kesesakan dan bukannya dengan menggunakan pendekatan one size fits all yang akan membebankan pemandu ehailing.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata tempoh percubaan di Terminal 1 di Aras 5 (pelepasan menghantar penumpang) dan Aras 3 (ketibaan mengambil penumpang), akan bermula pada 1 September hingga 31 November, 2025. - 4 September, 2025
The post ‘Caj bayaran tidak masuk akal di laluan pelepasan, ketibaan KLIA’: Penghantar minta MOT masuk campur appeared first on Scoop.



