Caj kenderaan e-hailing masuk KLIA RM2 berkuat kuasa hari ini

LocalCars
16 Sep 2026 • 1:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Caj kenderaan e-hailing masuk KLIA RM2 berkuat kuasa hari ini

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj masuk bagi kenderaan e-hailing kepada RM2 termasuk cukai bagi memasuki Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa hari ini.

Untuk maklumat, caj masuk sebelum ini ditetapkan sebanyak RM3 bagi Terminal 1 dan RM2.16 bagi Terminal 2.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), langkah berkenaan bertujuan memberikan lebih banyak keseragaman kepada penumpang serta pengendali e-hailing selain menyokong pengalaman pengambilan penumpang yang lebih lancar di kedua-dua terminal.

“Sementara itu, kemudahan e-hailing yang dipertingkatkan di Terminal 1 sejak Ogos lalu turut menunjukkan peningkatan prestasi operasi yang menggalakkan.

“Dalam tempoh hanya sebulan selepas pelaksanaan, 99.3 peratus pemandu e-hailing kini berjaya mengambil penumpang dan keluar dalam tempoh 10 minit yang diperuntukkan, berbanding 49.4 peratus sebelum ini.

“Pada masa sama, jumlah kenderaan yang memasuki lorong pengambilan penumpang setiap hari berkurang 13.5 peratus daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

MAHB berkata, sistem dipertingkatkan itu turut meningkatkan kapasiti pemprosesan pada waktu puncak daripada 302 kepada sehingga 660 kenderaan sejam.

“Ia sekali gus membolehkan pusing ganti kenderaan lebih pantas dan melancarkan operasi pengambilan penumpang pada waktu puncak,” katanya.

Selain itu, menurut Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin, penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan e-hailing di KLIA mencerminkan untuk menyediakan pengalaman perjalanan lancar selain memastikan operasi kekal teratur, cekap dan responsif.

“Di KLIA, setiap aspek perjalanan penumpang penting, termasuk pengalaman perjalanan pergi dan balik dari lapangan terbang.

“Dengan menyediakan ruang dalaman yang selesa untuk penumpang menunggu serta memberikan masa yang sesuai kepada pemandu, kami melihat pematuhan yang lebih baik, pergerakan kenderaan lebih pantas dan aliran trafik lebih lancar,” katanya.

Kemudahan yang dinaik taraf di Terminal 1 merangkumi sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) yang diintegrasikan dengan Skrin Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), kios layan diri, kawasan menunggu dan pengambilan penumpang, serta petugas lapangan.

Penambahbaikan sistem e-hailing itu turut membolehkan pemantauan dan kawalan akses yang lebih ketat bagi memastikan hanya kenderaan e-hailing yang dibenar menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang ditetapkan.

Kenderaan e-hailing akan terus diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang untuk melancarkan pergerakan trafik, memastikan petak pengambilan penumpang sentiasa tersedia dan melancarkan proses pengambilan penumpang. – KOSMO! ONLINE

The post Caj kenderaan e-hailing masuk KLIA RM2 berkuat kuasa hari ini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved